VINCENT mengambil inisiatif dengan merujuk mereka lebih berpengalaman untuk menguruskan studio kecergasan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Sembilan tahun lalu, Vincent Mallang AK Alfred, 25, pernah mengalami kecederaan serius pada buku lali akibat terseliuh hingga terpaksa berehat hampir dua bulan daripada melakukan sebarang aktiviti sukan ataupun kecergasan.

Namun, insiden berkenaan sedikit pun tidak mematahkan semangat pemuda kelahiran Sarawak ini sebaliknya Vincent menganggap ia sebahagian asam garam dalam bidang yang diceburinya sejak berumur 16 tahun.

Hasil kesabaran dan kesungguhan, Vincent kini tidak hanya bergelar jurulatih tetapi pengurus di studio kecergasan miliknya yang mula beroperasi Disember tahun lalu di Kuching, Sarawak.

“Dulu, saya seorang yang pemalu dan pendiam. Mungkin sebab itu, saya sering menjadi sasaran buli pelajar lain ketika di sekolah.

“Sedih juga diperlakukan sebegitu namun saya rasa tiada gunanya membalas dendam terhadap mereka yang membuli.

“Sebaliknya, saya cuba lepaskan kemarahan dengan cara lain antaranya aktif dalam tarian ‚break dance‘ sebelum beralih kepada sukan parkour dan aktiviti kecergasan,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, walaupun tiada asas dalam menguruskan studio kecergasan, dia mengambil inisiatif sendiri dengan meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman serta mengambil kursus jangka pendek perniagaan.


VINCENT puas dapat berkongsi ilmu mengenai kecergasan kepada pelajar di bawah bimbingannya.

Katanya, peringkat permulaan itu agak sukar tetapi bertambah baik dengan adanya sokongan daripada keluarga dan rakan terdekat.

“Ikutkan, saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pengurusan sebaliknya berkelulusan kejuruteraan elektrik.

“Namun, rugi rasanya jika tidak mengambil peluang yang ada dan sebab itu saya ambil keputusan untuk membuka studio kecergasan sendiri.

“Lagipun, sudah empat tahun saya menjadi jurulatih kecergasan jadi inilah masanya untuk mengambil tanggungjawab sebagai pengurus,“ katanya.

Menurut Vincent, dia sudah bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk cabaran yang bakal dihadapi kelak.

Baginya, perkara itu tidak dapat dielakkan tetapi dia percaya apa yang berlaku mengajarnya menjadi individu yang lebih baik.

“Sejak berumur 15 tahun lagi, saya sudah berdikari dengan melakukan pelbagai pekerjaan bagi mencari duit poket sendiri.

“Malah, sebelum membuka studio kecergasan sendiri, saya pernah bekerja di beberapa pusat gimnasium sebagai jurulatih kecergasan sambilan.

“Kini, usaha saya mula menampakkan hasilnya dan lebih menarik, 90 peratus daripada pelajar yang mengikuti program kecergasan di bawah bimbingan saya adalah wanita berumur 16 hingga 55 tahun.

“Itu satu perkembangan yang positif dan saya berharap dapat berkongsi ilmu dengan mereka supaya terus konsisten mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.


VINCENT (tengah) menjuarai pertandingan R U Tough Enough.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 12:42 PM