ARTIS muda yang menjayakan pameran seni berkumpulan 'Young Me'.
Redzuan Muharam
Gen.y@hmetro.com.my

Bagi memastikan bakat seni anak muda tidak disia-siakan, Galeri Universiti Malaya (UM) menganjurkan pameran seni berkumpulan, ‘Young Me’ sebagai platform untuk 13 alumni Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempamerkan kreativiti menerusi karya yang dihasilkan.

Kurator merangkap pengurus Galeri Seni UM Hazlin Anita Zainal Abidin berkata, pameran itu diadakan selama sebulan bermula 27 Ogos sehingga 27 September depan dan dirasmikan Prof Yusof Ghani yang juga artis, bekas pensyarah UITM, kurator dan pemilik Galeri Tapak di Shah Alam.

Anita berkata, pameran itu tidak hanya terbuka kepada warga kampus kerana orang awam juga boleh berkunjung ke galeri bagi menyaksikan lebih dekat karya artis yang dipamerkan.

“Industri seni kreatif di Malaysia tidak besar dan lebih membimbangkan, ramai siswazah yang tidak mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Menyedari perkara itu, kami rasakan pentingnya menyediakan platform untuk golongan pelapis iaitu artis muda supaya pembabitan mereka di dalam industri mendapat perhatian seperti pelukis veteran.

“Antaranya menerusi program ini yang juga peluang keemasan untuk mereka terus berkarya dan membuktikan kebolehan kepada penggiat seni tempatan,” katanya


KARYA dipamerkan sempena pameran seni berkumpulan 'Young Me' di Galeri Seni UM.

Meskipun semua peserta masih baru bergiat aktif di dalam industri, Hazlin memuji komitmen dan kesungguhan ditunjukkan artis yang mengambil bahagian.

Katanya, masing-masing cuba menghasilkan karya di luar kotak dan tidak kurang yang berani menyampaikan mesej dengan mengambil inspirasi daripada senario politik semasa.

“Pameran ini membolehkan pengunjung melihat kepelbagaian teknik artis dalam menghasilkan karya masing-masing.

“Ada yang melukis di atas kanvas, menggunakan simen, bermain dengan kolaj dan menekankan teknik dualisme.

“Itu yang kami mahu supaya pameran ini juga menjadi medium untuk mendidik pengunjung supaya lebih menghargai karya seni tempatan,” katanya.

Seorang artis, Muhamad Firdaus Nordin , 24, berkata, penyertaan dalam program itu membolehkannya mendapat maklum balas daripada pengunjung yang hadir .

Katanya, teguran positif itu memberinya kepuasan untuknya dan rakan artis lain menambah baik untuk siri pameran yang akan datang.

“Semangat berkarya mendorong saya dan rakan artis yang lain menjayakan pameran berkumpulan ini dan ia adalah siri kedua sejak kumpulan kami, TERBIT ditubuhkan dua tahun lalu.

“Pelbagai medium diketengahkan antaranya aluminium, simen, botol plastik dan kayu arang yang menjadi tarikan untuk pameran kali ini,” katanya.


HASIL kreativiti artis muda yang menjayakan pameran seni berkumpulan, 'Young Me'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 12:47 PM