SHARIMI (tiga dari kiri) bersama barisan fasilitator syarikatnya.
Redzuan Muharam
Gen.y@hmetro.com.my

Kepuasan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat ke arah kebaikan antara sebab utama Sharimi Shaharudin, 30, memilih kerjaya penceramah motivasi sebagai punca pendapatannya sejak enam tahun lalu.

Meskipun, ia tanggungjawab yang besar, pengalaman banyak membantunya untuk tampil berkeyakinan ketika mengendalikan sesuatu program.

Anak bongsu daripada tujuh beradik ini berkata, sebagai penceramah motivasi, dia perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan bersabar kerana tidak dapat lari daripada berhadapan dengan pelbagai ragam manusia di samping cabaran yang lain.

“Sebagai penceramah, saya pergi ke merata tempat untuk mengendalikan program motivasi tanpa mengira masa dan ada kalanya sehingga lewat malam.

“Pernah satu ketika, saya terbabit dengan kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan namun disebabkan tidak mahu menghampakan penganjur, saya datang juga ke majlis berkenaan.

“Bagi saya, keutamaan perlu diberi pada tugas yang diamanahkan dan puas rasanya apabila dapat berkongsi ilmu serta membantu peserta hingga mereka terbuka hati untuk berubah menjadi lebih baik,” katanya.

Kata Sharimi, cabaran lain yang dihadapinya adalah ketika berurusan berkenaan soal bayaran dengan pihak penganjur.

Katanya, ada di antara mereka yang menawarkan harga terlalu rendah atau enggan membayar kerana mahu mendapatkan khidmat percuma.

“Wujud tanggapan yang mengatakan penceramah setakat bercakap menggunakan air liur padahal perkara itu tidak benar.

“Sama seperti kerjaya lain, bidang ini ada cabaran tersendiri antaranya ketika berdepan peserta yang sangat beremosi atau cuba meluahkan rasa cinta dan masalah rumit sepatutnya dirujuk kepada pakar kaunseling.

“Itu belum termasuk layanan hambar daripada penganjur dan jangkaan tinggi mereka yang mengharapkan peserta berubah sepenuhnya sejurus selepas menyertai program,” katanya.

Sharimi berkata, meskipun kerjayanya bukan pilihan kebanyakan golongan muda, dia selesa dengan apa yang dilakukan.


SHARIMI bersama pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Malah, dia menganggap tugas sebagai penceramah motivasi adalah peluang keemasan untuknya mendekati golongan muda daripada pelbagai latar belakang.

“Golongan muda kini mungkin kurang cenderung menjadi penceramah motivasi kerana tiada minat dan keyakinan untuk bercakap di khalayak atau berasakan belum layak kerana masih ada kekurangan pada diri.

“Namun, jika tiada yang mengambil tanggungjawab ini, siapa lagi? Lagipun, ia tidak lari daripada bidang pengajian saya ketika di kampus.

“Secara tidak langsung, saya dapat memahami jiwa anak muda masa kini menggunakan pendekatan bersesuaian untuk menarik minat mereka antaranya menerusi perkongsian di laman sosial,” katanya.

Menurut Sharimi, selain menjadi penceramah motivasi, dia turut aktif sebagai jurulatih bertauliah Bulan Sabit Merah Malaysia (BSSM) sejak 10 tahun lalu.

Menerusi pertubuhan berkenaan, dia bertanggungjawab menganjurkan perkhemahan unit beruniform, mengajar kawad kaki, subjek pertolongan cemas dan bencana alam selain terbabit dengan aktiviti kemanusiaan serta sukarelawan.

“Cabaran mengendalikan program perkhemahan adalah menjaga ratusan nyawa peserta yang mengambil bahagian.

“Nampak mudah tetapi hakikatnya tidak kerana setiap peserta mempunyai kerenah masing-masing namun pengalaman membantu saya untuk menjadi keutamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 12:15 PM