MOHD Firdaus (dua dari kiri) Abdullah Fahim (kiri), Mohammad Mukhlis dan sukarelawan menyelaras misi itu, Salama.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Keinginan untuk membantu golongan kurang bernasib baik mendorong tiga sahabat iaitu Mohd Firdaus Al Musanna Ahmad, 25, Abdullah Fahim Mohd Yazid, 24, dan Mohammad Mukhlis Mohd Ghazi, 28, menjayakan Misi Korban di Zanzibar, Tanzania, baru-baru ini.

Misi sempena sambutan Aidiladha itu dianjurkan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) membabitkan sembelihan 55 ekor kambing dan 12 ekor lembu yang mengambil masa selama enam jam untuk dilapah.

Mohd Firdaus selaku Pengarah Program berkata, seramai 1,190 individu mendapat manfaat daripada misi berkenaan yang membabitkan empat kampung iaitu Jumbu, Tunguu, Charawe dan Ukongoroni.

Katanya, lokasi berkenaan dipilih selepas mengambil kira faktor kemiskinan dan kedudukannya di pinggir bandar serta pesisir pantai.


PENDUDUK sabar menanti ketika pengagihan daging korban.

“Selain MAHAR, misi ini tidak mungkin direalisasikan tanpa sumbangan rakyat Malaysia.

“Malah, penganjuran program ini sangat dinantikan mereka yang hanya berpeluang menikmati daging ketika sambutan Aidiladha saja.

“Lebih menyedihkan, mereka sanggup menunggu daripada pagi hingga petang untuk mendapatkan daging korban dan kami mengambil kira-kira dua jam untuk melakukan penghantaran berikutan penempatan mereka jauh di pedalaman,” katanya.

Kata Mohd Firdaus, jika diberi kesempatan, dia mahu menjayakan lagi misi berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, ia kerana misi berkenaan memberinya pengalaman yang sangat berharga dan memberi keinsafan untuk lebih bersyukur dengan apa dimiliki.

“Sebelum ini, saya pernah ke Zanzibar bagi mengikuti Misi Kemanusiaan MyCorps dan melihat sendiri kehidupan mereka yang serba kekurangan sepanjang tiga bulan berada di sana.

“Kesinambungannya, saya ambil inisiatif untuk jayakan misi ini dan ternyata mereka sangat menyambut baik kedatangan kami.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat menyampaikan sumbangan bagi pihak rakyat Malaysia yang prihatin. Jujurnya, saya gembira melihat riak wajah mereka ketika menerima daging korban berkenaan.


PENDUDUK sabar menanti ketika pengagihan daging korban.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:05 PM