Susunan Hazril Md Nor
hazril.nor@mediaprima.com.my

Bulan ini memang istimewa. Mana tidaknya, ia menyaksikan permainan video menarik seperti Yakuza 0, Overcooked 2 dan Dead Cells yang dikeluarkan untuk platform PS4, Xbox One serta PC.

Pastinya ‘gamers’ menantikan permainan menarik untuk didapatkan pada September pula! Jadi, disenaraikan permainan video untuk memudahkan anda.

Spider-Man

Permainan terakhir berkonsepkan Spider Man dikeluarkan pada 2014 yang bertajuk The Amazing Spider-Man 2 tapi menerima respons kurang baik daripada portal berita antarabangsa.

Kali ini, Insomniac Games ingin mengubah persepsi itu dengan memperkenalkan Spider-Man yang akan tiba secara eksklusif di PlayStation 4 pada 7 September ini.

Permainan dunia terbuka ini adalah berlainan berbanding game Spider-Man lain kerana ia memasukkan ‘gameplay’ yang memfokuskan kepada kehidupan Peter Parker sebagai saintis dan kebolehan pemain untuk menggunakan karakter Mary Jane.

Selain itu, pemain juga akan menikmati pengalaman berayun sebagai Spide-Man di bandar New York yang menggunakan konsep dunia terbuka dan menjalankan misi sampingan yang sangat banyak. Dari segi pertarungan, permainan ini mempunyai elemen kombat seperti Batman Arkham namun mempunyai keunikan tersendiri.

FIFA 19

Dalam entri terbaru ini, pemain boleh menetapkan strategi taktikal sebelum memasuki perlawanan. Ini bermakna mereka tidak perlu risau jika ada masalah ‘backpassing’ kerana strategi ini akan automatik membantu mengisi ‘ruang kosong’ dan kelemahan pada formasi.

Selain itu, EA Sports memastikan pemain dapat menghayati permainan sepenuhnya dengan mendapatkan lesen liga Eropah dan liga Champions.

Banyak lagi pembaharuan lain boleh ditemui dalam entri terbaru ini. Tapi anda perlu menunggu sehingga 28 September ini untuk mengetahui lebih lanjut!

Dragon Quest X1

Permainan ini pernah dilancarkan di Nintendo 3DS dan PlayStation 4 pada tahun lalu di Jepun. Kali ini ia akan dilancarkan di seluruh dunia termasuk di PC dan Nintendo Switch.

Konsep permainannya agak unik. Ia menampilkan empat karakter yang setiap satunya mempunyai kuasa tersendiri. Ketika mencuba permainan ini di PlayStation Experience 2018, penulis tertarik dengan ‘gameplay’ yang memfokuskan pada visual dan penggunaan kuasa yang agak menarik perhatian.

Semestinya apabila permainan ini dilancarkan kelak, ia akan menjadi pilihan peminat yang gemarkan elemen RPG dan anime Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 2:07 PM