AHLI pasukan El Coro Ensemble yang mengharumkan nama negara di Bali baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Biarpun Ellqa Bukhemi Norafikah Darwis pernah dikritik suaranya tidak sesuai untuk kumpulan koir ketika di bangku sekolah, dia tidak pernah putus asa.

Ellqa amat meminati nyanyian malah menyimpan harapan tinggi menjelajah dunia menerusi kumpulan koir El Coro Ensemble yang ditubuhkan bersama rakan Alumni Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mula berada di pentas persembahan seawal usia 12 tahun, gadis berasal dari Sandakan, Sabah ini mengatakan dirinya beruntung dikurniakan suara merdu dan memantapkannya dengan mengikuti pengajian muzik di UiTM di Shah Alam Selangor.

Meskipun sudah bergelar guru vokal di sebuah institusi di Damansara, dia masih belum berpuas hati malah berniat mahu menimba lebih pengalaman dalam bidang nyanyian terutama koir menerusi pelbagai pertandingan koir.

Terbaru Ellqa dan El Coro Ensemble memenangi pingat emas dalam pertandingan 7th Bali International Choir Festival di Bali, Indonesia bagi kategori vokal berkumpulan dan menewaskan 13 pasukan antarabangsa lain.


SESI latihan kumpulannya.

“Satu kejayaan manis buat El Coro Ensemble apabila memenangi emas menerusi penampilan sulung dalam pertandingan itu. Kejohanan koir terbabit berlangsung penghujung Julai lalu disertai 16 negara termasuk Venezuela, Poland, Latvia, New Zealand, Amerika Syarikat dan negara rantau Asia.

“Kumpulan kami baru ditubuhkan tahun lalu dan bergerak menggunakan duit sendiri bagi menyertai beberapa pertandingan nyanyian baik di luar mahupun dalam negara.

“Banyak pengorbanan dilakukan untuk pertandingan itu termasuk jerih-perih kami berlatih setiap hari dan berjam- lamanya meskipun masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Malah kami terpaksa mengeluar belanja RM3,000 orang untuk yuran dan perbelanjaan sepanjang berada di sana. Namun semua sudah tidak dirasakan apabila nama kami diumumkan memenangi pingat emas kerana berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan bertaraf antarabangsa. Ini menjadi pendorong saya dan rakan lain untuk terus menyertai lebih banyak kejohanan seumpama itu kelak,” katanya.


ELLQA gembira pasukan­nya berjaya meraih ­pingat emas.

Kata Ellqa, dia turut bersyukur dengan komitmen pasukannya yang sering saling menyokong antara satu sama lain terutama ketika latihan intensif.

“Memang memenatkan, saya bekerja juga menggunakan suara dan selesai mengajar perlu bergegas untuk membuat latihan pula.

“Ada satu ketika suara hilang secara tiba-tiba dan terpaksa direhatkan seminggu. Saya menyanyi untuk aras suara soprano dan alto iaitu bahagian nada tinggi dan sederhana.

“Saya perlu berlatih dengan kuat tetapi pada masa sama kena menjaga suara agar tidak terjejas ketika membuat persembahan,” katanya.

Ketika pertandingan itu kumpulan koirnya menyampaikan tiga lagu secara medley iaitu Roar dendangan Katty Perry, Girl On Fire oleh Alicia Key dan Respect.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 12:42 PM