TEAM Liquid
Susunan Hazril Md Nor
hazril.nor@mediaprima.com.my

Bahang The International 2018 kian terasa. Kejohanan tahunan Dota 2 ini kali pertama diadakan di Vancouver, Kanada menyaksikan 18 pasukan terhebat permainan e-sukan itu berentap merebut hadiah wang tunai terkumpul lebih

AS$25 juta.

Pasukan hebat seperti juara tahun lalu, Team Liquid, PSG LGD dari China dan Evil Geniuses dari Eropah menunjukkan mereka mempu­nyai peluang cerah dalam pertandingan kali ini.

Team Liquid

Skuad Eropah ini antara yang masih bertahan selepas setahun memenangi kejohanan dunia. Dibarisi pemain seperti Kuroky, Miracle-, Matumbaman, Mind Control dan GH, mereka antara pasukan paling digeruni dalam The International kali ini.

Biarpun sudah memenangi edisi tahun lalu, ia tak menghentikan semangat juang mereka untuk terus kekal relevan dalam arena kompetitif ini. Sepanjang pusingan kelayakan, Team Liquid membuktikan mereka masih berdiri teguh dengan membolot markah paling tinggi dan hanya melepasi markah Evil Geniuses dengan kemenangan tipis 2-0.

Ketika artikel ini ditulis, Team Liquid memenangi pusingan pertama Upper Bracket berdepan Optic Gaming dengan rekod 2-0 lalu menempatkan mereka di tangga enam teratas.

Team Liquid bermain dengan begitu serius memandangkan setiap ahlinya memahami gaya permainan masing-masing. Boleh dikatakan, strategi Team Liquid selalu berjaya untuk ‚mencipta ruang‘ bagi pemain seperti Miracle- dan Matumbaman untuk membuat ‚play‘ pada akhir perlawanan.

PSG.LGD

Skuad dari China yang dianggotai anak Malaysia, Yap Jian Wei (xNova) ini juga dianggap sebagai pasukan pilihan untuk TI8.

Persembahan mereka nyata lebih strategik dan memuaskan peminat kerana terdapat keserasian antara ahli dan penambahan xNova yang mahir bermain hero pembantu iaitu Witch Doctor.

Di sepanjang peringkat kumpulan, PSG.LGD menunjukkan dominasi dalam kumpulan A dengan meraih 11 kemenangan, menduduki tempat ketiga dalam saringan itu di belakang Team Liquid dan Evil Geniuses.

Kini, mereka ke acara utama untuk membuktikan pasukan China akan memenangi The International kali ini. Mengikut rekod dan sejarah The International, pasukan China memenangi TI setiap dua tahun dan kali ini peminat percaya pada formula itu dan menjangkakan PSG.LGD mungkin akan ke final.


PSG.LGD

Evil Geniuses

Juara The International 2015 ini mempunyai pertukaran ahli yang agak mengejutkan pada musim 2018. Sebelum TI8 bermula, mereka kehilangan permata seperti Saahil Arora (Universe) dan juga Rasmus Filipsen (Misery). Sudahnya, EG ‚mencuri‘ dua pemain dari OG, Fly dan juga S4.

Fly adalah sahabat baik kepada N0tail, mereka berdua mengasaskan Monkey Business yang kemudian dijenamakan semula sebagai OG. Selama lebih tiga tahun, akhirnya mereka terpaksa berpisah kerana kegagalan OG menempa nama dalam arena antarabangsa. Buat EG pula, penambahan dua pemain ini tak begitu membanggakan pada awalnya.

Sepanjang Dota Pro Circuit berlangsung, EG gagal untuk me­nyinar secara konsisten dalam kejohanan tapi dalam The International 2018 kali ini, mereka mendominasi peringkat kumpulan dengan 13 kemenangan. Ketika artikel ini ditulis, perjuangan mereka di Upper Bracket pastinya dinantikan oleh semua peminat yang akan #bleedblue bersama mereka.


EVIL Geniuses

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 1:20 PM