PELAJAR Malaysia di Sydney yang terbabit dalam menjayakan Festival Malaysia.
Redzuan Muharam
Gen.y@hmetro.com.my

Dalam usaha mempromosikan keistimewaan adat dan budaya tempatan, sekumpulan anak muda yang juga penuntut Malaysia di Sydney, Australia berganding bahu menganjurkan Festival Malaysia pada 1 dan 2 September depan.

Acara tahunan sejak 1990 itu mendapat sokongan daripada Konsulat Malaysia dan akan diadakan di Tumbalong Park, Darling Harbour, Sydney, Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Festival Malaysia Qie Shang Pua berkata, 43 ahli jawatankuasa terdiri daripada eksekutif, pengarah dan lebih 100 sukarelawan terbabit dalam menjayakan festival berkenaan.

Katanya, cabaran utama di peringkat awal adalah mendapatkan penaja namun semuanya dapat diatasi hasil bantuan rakyat Malaysia yang bermurah hati menghulurkan sumbangan.

“Acara ini platform terbaik untuk kita mempromosikan Malaysia termasuk produk yang ada khasnya kepada komuniti tempatan di Australia. Kami menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung tahun ini berbanding 38,000 pada tahun lalu.

Permainan tradisional

“Selain persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan bagi memeriahkan acara antaranya pertandingan makan durian, sesi permainan tradisional seperti congkak, guli serta batu seremban.

“Tidak ketinggalan, gerai jualan makanan dan minuman Malaysia yang tentunya menjadi tarikan sepanjang festival itu berlangsung,” katanya.

Tambah menarik, lapan penari kanak-kanak dari kumpulan Artis Cilik Setiawangsa juga diundang bagi mengadakan persembahan pembukaan untuk festival berkenaan.


KEMERIAHAN Festival Malaysia tahun lalu.

Pengurus merangkap Guru Tari Artis Cilik Setiawangsa, Nazari Zain berkata, pihaknya berterima kasih kepada penganjur kerana memberi kepercayaan kepada lapan penari di bawah bimbingannya untuk mempamerkan bakat tarian mereka.

Katanya, peluang itu amat berharga dan secara tidak langsung memberi pendedahan kepada penari untuk membuat persembahan di luar negara seterusnya meningkatkan keyakinan, kemahiran berinteraksi dan semangat berpasukan mereka.

“Penganjur bersetuju menyediakan tempat tinggal, makan dan minum, pengangkutan pergi dan balik dari lapangan terbang namun pihak kami perlu menanggung kos untuk membeli tiket penerbangan ke sana.

“Memandangkan kumpulan ini tidak mendapat bantuan kewangan dari kementerian atau jabatan kerajaan berkaitan, kami usahakan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengumpul dana seperti busking, flashmob dan jualan amal kerana majoriti keluarga penari dari kumpulan berpendapatan rendah.

“Saya harap dana terkumpul itu mencukupi kerana sijil penyertaan yang akan diperoleh nanti amat penting dan mampu melayakkan penari terbabit mendapat markah tinggi untuk rekod kokurikulum mereka di sekolah,” katanya.


HAQIEM Rusli antara artis yang menjayakan Festival Malaysia 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 1:20 PM