KERJAYA sebagai pemandu pelancong beri peluang kepada Mohammad Fairuz bertemu ramai orang.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Tiga tahun lalu, Mohammad Fairuz Junaidi, 30, nekad meletak jawatan di sebuah universiti swasta demi menjadi pemandu pelancong sepenuh masa di Korea Selatan.

Bermula dengan menguruskan rombongan sendiri, pemuda berasal dari Pekan, Pahang itu kemudian menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan di Korea Selatan pada Februari 2016 iaitu beberapa bulan selepas kedatangannya ke republik berkenaan.

Sejak itu, perkhidmatannya mendapat sambutan sehinggakan beroleh kepercayaan untuk menguruskan rombongan pelancong bukan saja dari Malaysia tetapi negara lain seperti Australia, Austria, Berlin, Singapura dan Brunei.

“Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Korea Selatan adalah pada 2011 tetapi sekadar melancong dan bertemu rakan yang belajar di sana ketika itu.

“Memandangkan ia destinasi luar negara yang pertama saya kunjungi, keinginan itu kuat untuk kembali semula ke Korea Selatan dan dari situ, tercetusnya idea menjadi pemandu pelancong.

“Dengan cara itu, saya dapat mengurangkan kos perbelanjaan dan pada awalnya hanya membawa kumpulan kecil terdiri daripada rakan serta kenalan pejabat.

“Namun, permintaan diterima semakin bertambah dan selepas berfikir masak-masak, saya ambil keputusan meletak jawatan untuk mencari rezeki di Korea Selatan,“ katanya anak ketiga daripada tujuh beradik ini.

Bercerita lanjut, Mohammad Fairuz berkata, banyak pengalaman ditimba sepanjang menjadi pemandu pelancong dan mengakui kerjaya itu memberi kepuasan kerana membolehkannya bertemu individu daripada pelbagai latar belakang.

Namun, dia tidak menafikan kerjaya berkenaan juga mempunyai cabaran tersendiri antaranya persaingan sesama sendiri dan kesukaran mendapatkan pekerja yang bebas daripada masalah disiplin.


GAMBAR kenangan bersama keluarga ketika majlis konvokesyennya.

“Saya kini tidak bergerak sendiri tetapi dibantu penuntut universiti tempatan yang diambil bekerja sebagai pemandu pelancong sambilan.

“Khidmat mereka diperlukan bagi membawa sebahagian rombongan ke destinasi menarik sekitar Korea Selatan sekali gus melancarkan urusan terutama jika terdapat bilangan pelancong yang ramai dalam satu-satu masa.

“Walaupun dibantu pekerja, saya tidak lepas tangan sebaliknya akan memantau bagi memastikan ahli rombongan berpuas hati dengan khidmat ditawarkan dari awal hingga akhir percutian mereka,“ katanya.

Di samping menjadi pemandu pelancong, Mohammad Fairuz berkata, dia turut memainkan peranan dalam memastikan kemudahan untuk pelancong Muslim tersedia.

Antaranya menerusi penyediaan surau dan ruang dapur mesra Muslim di hotel yang menjadi tempat penginapan ahli rombongan.

“Antara perkara yang saya titik beratkan adalah kemudahan Muslim dan itu sebabnya saya cadangkan kepada pemilik hotel untuk menyediakan ruang solat serta makan yang boleh mereka gunakan tanpa waswas.

“Alhamdulillah, pengurusan hotel peka dan menerima cadangan saya sebagai satu langkah untuk menambah baik perkhidmatan mereka.

“Lagipun, ia penting untuk kemudahan ahli rombongan seterusnya meyakinkan mereka untuk kembali melancong pada masa akan datang,“ katanya.

Mengenai hala tujunya, Mohammad Fairuz berkata, dia mempunyai perancangan kembali ke Malaysia bagi mengembangkan kariernya.

Bagaimanapun, Mohammad Fairuz berkata, banyak perkara perlu diuruskan sebelum merealisasikan hasratnya itu.

“Pekerjaan ini tidak hanya memberi kepuasan tetapi pulangan berbaloi hingga saya dapat membantu keluarga dan melangsaikan segala hutang yang ada.

“Cuma, walau seronok macam mana sekalipun, tiada yang dapat menandingi keistimewaan negara sendiri dan sebab itu saya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke tanah air terutama ketika musim perayaan.

“Malah, saya juga ada perancangan kembali menetap di tanah air bagi membuka cawangan di sana khususnya untuk memudahkan pelanggan di Malaysia mendapatkan khidmat pemandu pelancong jika ingin melancong ke Korea Selatan,“ katanya.


BERSAMA penduduk tempatan dan rombongan pelancong di bawah kendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:20 PM