GEMBIRA berada di puncak Gunung Raung.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Dulu aktiviti pendakian sekadar hobi waktu lapang bagi Muhamad Amirul Azaha, 23, namun keinginan menambah pendapatan mendorongnya menjadi penunjuk arah kepada pendaki amatur berbekalkan pengalaman yang ada.

Anak bongsu daripada enam beradik ini berkata, pekerjaan itu dilakukan secara sambilan sejak tamat persekolahan dan kebiasaannya pada hujung minggu.

Hari biasa digunakan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan menggubah bunga yang dijalankan secara dalam talian sejak tahun lalu.

“Saya mula terbabit dengan aktiviti mendaki gunung selepas mengikuti program pendakian di Gunung Rajah, Bentong, Pahang ketika tingkatan dua.

“Sepatutnya, abang yang menjadi peserta program berkenaan namun dia tidak dapat hadir pada saat akhir kerana terbabit dengan aktiviti kawad kaki. Jadi saya perlu menggantikannya.

“Ikutkan hati, saya tidak mahu menyertai program berkenaan tetapi terpaksa. Namun, semuanya berubah selepas berakhirnya program dan boleh dikatakan, saya jatuh cinta dengan aktiviti mendaki hingga tidak ketinggalan menyertai setiap aktiviti pendakian yang dianjurkan pihak sekolah,” katanya.

Pemuda yang berasal dari Shah Alam, Selangor ini berkata, sehingga kini, dia sudah menawan beberapa gunung yang di enam negara iaitu Indonesia, Taiwan, Vietnam, China, Nepal dan Thailand.

Katanya, itu belum termasuk pengalaman menawan gunung di dalam negara yang sebahagiannya pernah didaki lebih daripada sekali.

“Tahun lalu saja, saya sudah mendaki 40 gunung dan kepuasannya apabila dapat membawa pendaki kali pertama sampai ke puncak.

“Sebagai penunjuk arah, saya suka melihat gelagat mereka dan sebab itu lebih selesa menerima tawaran daripada mereka yang tiada pengalaman berbanding golongan profesional.

“Lagipun, ia memberi peluang untuk saya berkongsi pengalaman dan mana tahu ia dapat memupuk minat mereka untuk terus aktif dalam aktiviti pendakian,” katanya yang menjadikan joging sebagai antara rutin untuknya memantapkan stamina.


KALA menyertai aktiviti pendakian di Gunung Huashan, China.

Bercerita lanjut, Muhamad Amirul berkata, walaupun tidak menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT), dia bersyukur kerana masih dapat membantu keluarga dengan hasil pendapatan sebagai penggubah bunga dan penunjuk arah.

Malah, dia juga tiada masalah untuk membahagikan masa untuk kedua-dua pekerjaan itu memandangkan ia adalah minatnya.

“Sebenarnya, saya mula berdikari dengan bekerja sebagai penghantar bunga ketika di tingkatan lima dan pernah bercadang menyambung pengajian di universiti tidak lama selepas tamat persekolahan.

“Namun, hasrat itu terbantut selepas dilantik menjadi pengurus penghantar bunga oleh majikan dan memandangkan gaji ditawarkan agak tinggi, saya tidak menolak lebih-lebih kerana mahukan wang bagi membeli peralatan dan kelengkapan mendaki yang mahal.

“Bagaimanapun, saya akhirnya nekad berhenti untuk memberi tumpuan kepada perniagaan secara dalam talian dan alhamdulillah, tempahan sentiasa ada. Pekerjaan sebagai penunjuk arah juga berjalan seperti biasa dan kini, saya sudah mampu menganjurkan trip pendakian sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 1:48 PM