S KANNATHASAN
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Temasya Sukan SEA 2011 pernah meninggalkan kenangan pahit buat atlet olahraga, S Kannathasan, 27, apabila kemenangan pingat emas untuk acara berganti-ganti 4x400 meter ditarik balik dua bulan selepas kejohanan.

Namun, dorongan ayah, ahli keluarga dan jurulatih menguatkan semangatnya untuk terus aktif, sekali gus memburu lebih banyak kemenangan.

S Kannathasan yang serius menceburi sukan olahraga ketika berumur 17 tahun berkata, tidak guna menoleh ke belakang sebaliknya sebagai atlet, dia perlu terus memperbaiki prestasi demi melayakkan diri mengambil bahagian dalam sesuatu kejohanan terutama membabitkan penyertaan atlet luar negara.

“Saya mula aktif bersukan ketika berumur 10 tahun cuma lebih cenderung kepada olahraga sewaktu di tingkatan lima.

“Bermula dengan menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), saya kemudian terpilih mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu pada tahun sama.

“Menariknya ketika itu, saya tidak pulang tangan kosong sebaliknya meraih gangsa untuk lari berganti-ganti 400 meter dan amat gembira kerana ia kali pertama bertanding di SUKMA,” katanya.

S Kannathasan berkata, meskipun masih bergelar mahasiswa, rutin latihannya berjalan seperti biasa iaitu enam hari seminggu pada sebelah pagi dan petang.

Katanya, biarpun sibuk di trek olahraga, pelajaran tidak pernah diabaikan sebaliknya sentiasa menjadi keutamaannya.


MEMASANG impian bertanding di Sukan Komanwel.

“Selain bergelar atlet, saya juga penuntut ijazah komunikasi dan pengajian media namun setakat ini, saya tiada masalah membahagikan masa.

“Kebiasaannya, saya akan meluangkan masa menjalani latihan pada sebelah pagi dan petang tetapi tiada masa tetap kerana bergantung kepada jadual kuliah.

“Namun, walau sesibuk mana pun, saya tetap akan mencuri masa mengadakan latihan di trek kerana perlu konsisten dan rasa janggal pula jika tidak melakukannya,” katanya.

Mengenai hala tujunya, S Kannathasan berkata, dia mahu lebih giat menjalani latihan bagi memperbaiki prestasi untuk melayakkan diri dalam Sukan SEA pada tahun depan.

“Buat masa ini, saya sedang cuti semester dan lebih banyak menghabiskan masa menjalani latihan di trek olahraga.

“Walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan dalam tempoh terdekat, latihan berterusan dilakukan sebagai persediaan kerana sasaran saya adalah menyertai Kejohanan Sukan Universiti ASEAN pada Disember ini dan Sukan SEA pada tahun depan.

“Itu perancangan jangka pendek namun untuk jangka panjang, saya berhasrat menyertai Sukan Komanwel sebelum mengundurkan diri daripada sukan olahraga,” katanya.


GIAT menjalani latihan untuk memperbaiki prestasi diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 1:03 PM