SEMUA peserta bergambar kenangan selepas acara selesai.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my

Persepsi orang ramai mengenai permainan video kian berubah. Dulu ia dianggap membuang masa dan tidak berfaedah, hari ini ada anak muda kita yang menjadikannya sebagai karier.

Namun, industri permainan video sebagai karier atau e-sukan bukan terhad kepada bermain ‘game’ untuk memenangi hadiah wang tunai semata-mata. Ia juga boleh diperluaskan kepada inisiatif yang murni seperti mengumpul dana untuk membantu badan kebajikan.

Itu antara usaha pusat e-sukan CoVE Esports Hub yang memulakan program pertamanya ini Ahad lalu. Dinamakan Cove Fund­raiser Programme, ia mengumpulkan pemain lama dalam industri untuk kembali bermain dalam satu pasukan. Bukannya untuk hadiah tapi menyalurkan bantuan dana kepada mereka yang memerlukan.

Edisi pertamanya mengumpulkan pemain veteran Counter Strike yang kebanyakannya sudah bersara daripada industri e-sukan. Ia nyata meriah apabila meraih lebih RM6,000 hasil daripada penyertaan pemain.

Peserta, Adrian Chow dari pasukan Full Metal Jacket (FMJ) rasa bertuah dan mengakui acara sebegini memberikan impak positif kepada dirinya dan pemain lain.


PERLAWANAN ditayangkan di skrin dan juga Facebook LIVE.

“Saya rasakan acara ini adalah amat diperlukan dalam industri e-sukan. Kami sebagai pemain veteran sempat bertemu antara satu sama lain. Seronok berborak mengenangkan memori beberapa tahun dulu main secara kompetitif bersama-sama.

“Boleh dikatakan versi CS kali ini lebih berbeza tapi strategi dan perancangannya masih sama. Ia membawa kenangan lama sebelum saya bersara. Lagipun, saya berhenti bermain sejak 2004 jadi pengalaman ini sangat berharga walaupun ia hanya sekadar suka-suka,” katanya.

Sementara itu, pengasas Cove Esports Hub Jeevan Raj Menon berkata program ini berhasil mengumpulkan pemain Counter Strike yang berstatus veteran dan juga baru.

“Dengan RM100, pemain dapat membantu menyalurkan dana kepada badan kebajikan. Lebih menarik, acara ini juga dianggap sebagai ‘reunion’ kepada pemain veteran yang sudah berbelas tahun meninggalkan permainan ini.

“Objektif kami adalah untuk meningkatkan taraf hidup bagi mereka yang terkesan dengan kemiskinan ataupun masalah kesihatan. Selepas ini akan ada banyak lagi edisi untuk baki 2018,” katanya.


JUARA CoVE Fundraiser Programme.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 12:53 PM