ANTARA gaya sesuai dipadankan bersama kardigan kimono.
ZAIRINA mahu jadikan kardigan kimono sebagai alternatif.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Kimono cukup sinonim dengan masyarakat di Jepun tidak kira lelaki mahupun wanita malah ia juga terkenal sebagai pakaian tradisi negara matahari terbit itu.

Sehinggakan menjadi satu kemestian untuk pelancong luar mencuba kimono terutama jika berkunjung ke negara berkenaan.

Namun, pemakaian set lengkap kimono tidak begitu sesuai dengan iklim di negara ini kerana boleh mengundang rasa tidak selesa sekiranya dipakai dalam tempoh lama di tempat terbuka.

Jadi, alternatifnya adalah memilih kimono moden jenis kardigan yang boleh digayakan setiap hari termasuk ketika menghadiri majlis kasual dan perayaan.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual usahawan muda kimono, Zairina Zailani, 26, ketika menghadiri program Furugiya Flea Market di Medan Pasar, Kuala Lumpur.

Berkongsi lanjut, Zairina berkata, perniagaan itu dijalankan sejak tahun lalu bersama rakan kongsi, Muhammad Azrul Samsuddin dan stok kardigan kimono yang dijualnya diperoleh terus dari Jepun dan menariknya ia praktikal dipakai pada bila-bila masa.

“Pada mulanya, saya sekadar suka menggayakan kardigan kimono kerana selesa dan tidak bercadang menjalankan perniagaan.

“Lama-kelamaan, ramai rakan bertanyakan bagaimana membeli dan menggayakan kardigan berkenaan.

“Dari situ, timbul idea untuk menjualnya kerana bagi saya, apa salahnya mengambil peluang memandangkan adanya permintaan,” katanya.

Menurut Zairina, terdapat dua jenis kardigan kimono yang dijualnya iaitu jenis labuh dan pendek.

Katanya, kardigan kimono itu bersaiz longgar jadi ia sesuai digayakan semua termasuk mereka yang bertubuh gempal atau besar.

“Semua golongan boleh menggayakan kardigan ini tidak kira mereka lelaki atau perempuan kerana rekaannya agak universal.

“Malah, mereka yang bertubuh besar juga tiada masalah juga boleh bergaya dengan kardigan kimono ini tanpa khuatir kerana saiznya longgar mampu menutup kekurangan yang ada.

“Selain itu, saya turut menyasarkan golongan Muslimah yang mahu bergaya tetapi masih menjaga batas aurat mereka ketika di khalayak,” katanya.

Zairina berkata, golongan muda gemarkan gaya kasual juga boleh menjadikan kardigan kimono ini sebagai alternatif dalam gaya harian mereka.

“Adakalanya, kita akan rasa bosan untuk menggayakan padanan sama setiap hari maka kardigan kimono adalah pilihan untuk menggantikan kemeja atau pakaian sedia ada.

“Selain seluar jenis palazo atau denim, ia juga boleh dipakai bersama kain terutama ketika menghadiri majlis berbuka puasa tidak lama lagi.

“Malah, pemakai juga boleh memakainya bagi menggantikan baju Melayu atau kurung pada hari raya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:16 AM