SEMANGAT berpasukan dan Malaysia Boleh mendorong Tim K.A.T menamatkan saingan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Selepas mengembara sejauh 2,347 kilometer (km), wakil Malaysia, Tim K.A.T menamatkan saingan dalam cabaran Red Bull Can You Make It dengan menjadikan pasukan nombor satu dari Asia yang tiba di garisan penamat dan ke-20 daripada 200 pasukan secara keseluruhannya.

Misi pasukan dianggotai tiga anak muda iaitu Syed Abdul Kabir, Aiman Hamizan dan Batrisyia Ismail ini juga berjaya melepasi enam titik semak ketika merentasi lima negara sepanjang perjalanan.

Aiman yang berperanan sebagai Ketua Pasukan Tim K.A.T berkata, meskipun tidak menjuarai cabaran itu, dia dan rakan sepasukan gembira kerana dapat menamatkan saingan di kelompok 20 terbaik.

Katanya, bukan mudah untuk mereka tiba di garisan penamat kerana pelbagai cabaran perlu dilalui sepanjang pengembaraan yang mengambil masa selama seminggu.

“Saya masih lagi tidak percaya dan rasa seperti bermimpi apabila berjaya menukar enam tin Red Bull untuk menempuh perjalanan sejauh 1,500 km dari Gothenburg ke Copenhagen dengan kereta.

“Kami dapat melepasinya dan sepanjang pengembaraan, cabaran paling sukar tentunya sewaktu berkomunikasi dengan masyarakat di sana kerana ada antaranya yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Akan tetapi, semangat berpasukan membantu kami untuk menghadapi cabaran berkenaan dengan tenang sehingga ke garisan penamat di Amsterdam,” katanya.

Batrisyia atau lebih mesra dengan panggilan Trish yang menjadi satu-satunya ahli wanita dalam Tim K.A.T gembira kerana dapat turut serta dalam cabaran itu, sekali gus menimba pengalaman baru yang belum pernah dirasainya sebelum ini.

Dia mengakui bersyukur bukan saja kerana dapat bertahan tetapi muncul sebagai pasukan nombor satu dari Asia yang tiba di garisan penamat.

“Antara pengalaman tidak dapat saya lupakan apabila dapat bermalam di hotel enam bintang di Amsterdam dengan hanya menukar tin minuman Red Bull.

“Memang seronok dapat menginap di situ memandangkan kami terpaksa tidur di luar termasuk kaki lima beberapa malam sebelumnya,” katanya yang menggalakkan lebih ramai pelajar Malaysia turut serta pada masa akan datang.

Sementara itu, Syed Abdul Kadir berkata, penyertaan dalam cabaran berkenaan akan menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Dengan menyertai cabaran itu, kami dapat menguji kemampuan diri selain membuktikan kepada semua Malaysia Boleh!

“Peluang seumur hidup ini akan menjadi kenangan manis untuk dikenang sepanjang hayat kami. Selain mendapat kenalan baru, kami berpeluang mengenali budaya masyarakat luar dengan berkunjung ke pelbagai tempat menarik di Eropah.

“Walaupun gembira kerana dapat menamatkan cabaran, kami sedih apabila sampai ke penghujung perjalanan di Amsterdam. Kami tidak akan teragak-agak untuk melakukannya sekali lagi jika diberi peluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 1:40 PM