MUHAMMAD IZZAT tekun menyiapkan lukisannya.
MUHAMMAD IZZAT bersama karyanya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Keinginan mencuba sesuatu yang berbeza mendorong penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Izzat Azman, 23, bergelar pelukis seni cetakan kontemporari meskipun belum menamatkan pengajiannya.

Muhammad Izzat berkata, cabang seni yang menggabungkan genre ‘pop art’ dan ‘surrealism’ itu menjadi pilihannya kerana minat untuk menghasilkan karya berkenaan walaupun tidak ramai anak muda yang cenderung dengannya.

Baginya, seni cetakan yang dihasilkan di atas kayu itu memberinya lebih kebebasan dalam berkarya tanpa terikat dengan teknik tertentu atau teori semata-mata.

“Saya seorang yang suka mencuba dan tidak gemar meniru identiti pelukis lain atau melakukan sesuatu yang sering dipamerkan sebelum ini dan itu sebab utama saya memilih seni cetakan kayu berbanding cabang seni yang lain.

“Ternyata ia memberi kepuasan dan karya pertama dihasilkan mengambil inspirasi daripada adik yang obses dengan game.

“Saya mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkannya dan selain imej, dialog juga disertakan sebagai medium sokongan untuk menyampaikan mesej penceritaan karya berkenaan,” katanya yang menggemari karya berbentuk futuristik.

Bercerita lanjut, Muhammad Izzat berkata, selain memberinya kebebasan, seni cetakan kontemporari agak istimewa kerana memerlukan kemahiran mengukir selain melukis bagi menghidupkan lagi karya yang dihasilkan.

Katanya, kedua-dua proses berkenaan memerlukan ketelitian tinggi dan secara tidak langsung mengajarnya untuk fokus ketika menyiapkan karya.

“Untuk menghasilkan karya ini, saya perlu melukis corak yang ingin dihasilkan terlebih dulu sebelum mengukirnya di atas kayu.

“Tempoh menyiapkannya bergantung kepada saiz namun ia selalunya tidak mengambil masa lebih tujuh hari.

“Selain senario sekeliling, isu global juga memberi inspirasi untuk saya menghasilkan karya misalnya berkaitan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan selebihnya bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya yang menjadikan Pangkrok Sulap sebagai inspirasinya.

Menurut Muhammad Izzat, dia selesa bergerak sendiri dan tidak bercadang bernaung di bawah galeri buat masa ini.

Katanya, pelukis muda lain juga boleh melakukan perkara yang sama dengan syarat serius dan ada keberanian mencuba.

“Saya faham, ramai pelukis baru yang lebih cenderung memulakan kerjaya mereka di galeri berbanding bergerak sendiri.

“Ia bukan satu masalah namun mereka juga boleh bergerak solo jika mahu kerana bagi saya, ia lebih memberi kepuasan dan kebebasan dalam berkarya.

“Malah, jangan takut meletakkan harga yang dirasakan munasabah walaupun masih baru atau menyertai mana-mana siri pameran untuk menimba pengalaman,’ katanya yang memasang impian mengadakan pameran solo pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 4:13 AM