Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU), Dale Adelricteri, 26, lebih selesa berdikari berbanding mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada keluarga dan individu sekeliling.

Buktinya, anak bongsu daripada tiga beradik itu berusaha menjual pakaian dan kasut menerusi aplikasi Live Facebook (FB) sejak dua bulan lalu.

Bapanya, Vencent Teri, 56, berkata, Dale yang pernah menjalani pembedahan akibat penyakit lebihan cecair dalam otak (hidrosefalus) ketika berumur dua bulan memilih cara itu kerana minat dan keinginannya untuk mencari pendapatan sampingan seperti individu lain.


DALE menjual pakaian dan kasut menerusi aplikasi Live di FB.

“Sebelum ini, Dale lebih aktif dalam sukan boccia dan pernah mewakili negara dalam kejohanan Sukan Para ASEAN Remaja di Tokyo pada 2009 dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur.

“Namun, sejak dua bulan kebelakangan ini, dia mula mencuba sesuatu yang baru iaitu menjual barangan secara dalam talian menggunakan Facebook.

“Barangan itu diperoleh daripada rakannya yang menjadi pembekal dan apa yang menarik, dia berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya menerusi aplikasi Live di FB,” katanya.

Menurut Vencent, Dale memperuntukkan kira-kira dua hingga empat jam untuk berurus niaga di FB dan kebiasaannya pada waktu petang dan malam.

Pada waktu pagi digunakannya untuk berehat atau menjalani latihan boccia sebagai persiapan jika ada kejohanan pada masa akan datang.

“Boleh dikatakan, Dale menjalankan urus niaga itu berseorangan bermula daripada proses mengambil pesanan sehingga melakukan pembungkusan untuk dihantar kepada pelanggan.

“Bukan tidak mahu membantu tetapi sejak dulu lagi, Dale lebih suka berdikari malah dia sendiri yang membalas kiriman mesej pelanggan di WhatsApp.

“Cuma, saya tetap akan memantau dan membantunya terutama berkaitan hal pengurusan diri kerana dia tidak dapat bergerak kecuali menggunakan kerusi roda automatik selain menjadi jurulatih peribadinya ketika latihan,” katanya.


DALE berurus niaga dengan pengikutnya menerusi aplikasi Live di FB.

Menurut Vencent, walaupun Dale tidak mendapat pendidikan formal di sekolah, anaknya itu tetap mempunyai kelebihan selain dalam bidang sukan.

Antaranya adalah dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan kemahiran menghasilkan baju-T.

“Dale tidak mempunyai pendidikan formal dan kelulusan di peringkat sekolah tetapi pernah dihantar ke Pusat Spastik Selangor.

“Selain itu, saya juga pernah menghantarnya ke sebuah kolej swasta bagi mengikuti kursus Teknologi Maklumat (Rangkaian) namun sekadar untuk membolehkannya menimba ilmu dalam bidang berkenaan.

“Bagi saya, itu sebahagian inisiatif untuk membantunya dan walaupun Dale berstatus OKU, dia cepat belajar. Malah, saya tidak pernah memandang kekurangannya dengan memberi layanan istimewa tetapi sama rata seperti anak yang lain kerana bagi saya Dale mempunyai banyak kelebihan,” katanya.


DALE membungkus barangan yang dipesan oleh pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 12:38 PM