AKSI Noor Haidayu ketika beraksi dalam kejohanan bola jaring.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Sejak berumur enam tahun, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Noor Haidayu Hasmira Hasbullah, 22, sudah didedahkan dengan permainan bola jaring oleh ibunya, Harina Murad yang juga aktif dalam sukan berkenaan satu ketika dulu.

Jadi, tidak hairanlah jika gadis kelahiran Alor Setar ini mempunyai minat mendalam terhadap sukan berkenaan dan aktif menyertai pelbagai kejohanan mewakili sekolah, negeri dan negara.

Bercerita lanjut, Noor Haidayu berkata, selain ibu, dua gurunya, iaitu Fadzil Darus dan Norhayati Bahari serta jurulatih, Huslina Hussain banyak memberinya galakan selain bimbingan untuk terus aktif sehingga ke hari ini.

“Saya menyedari bakat dalam sukan ini sejak berumur enam tahun dengan bimbingan ibu tetapi mula aktif bermain lima tahun kemudian sebelum terpilih mewakili sekolah di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada tahun berikutnya.

“Minat itu bertambah selepas saya mendapat tawaran memasuki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor ketika di tingkatan satu dan hasil kesungguhan, saya bersama pasukan layak menyertai sebuah Kejohanan Sekolah Sukan di Thailand pada 2012 serta membawa pulang pingat emas.

“Ia satu pencapaian yang besar bagi saya kerana baru berumur 16 tahun ketika itu dan bertitik tolak dari situ, saya terus aktif menyertai kejohanan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA), Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan dan Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan,” katanya.


NOOR HAIDAYU memasang impian untuk menjadi jurulatih bola jaring.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, selain meraih kejayaan bersama pasukan, dia juga pernah mengalami episod duka iaitu kecederaan serius pada kaki sehingga hampir terlintas untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sukan bola jaring.

Menurut Noor Haidayu, bagaimanapun, kepercayaan diberi oleh keluarga, jurulatih, pengurus pasukan dan rakan mengembalikan semangatnya untuk terus aktif di gelanggang.

“Kenangan paling tidak dapat dilupakan adalah pada 2015 ketika saya mengalami kecederaan serius pada kaki hingga terpaksa menjalani pembedahan bagi memulihkannya.

“Kecederaan itu menyebabkan saya tidak dapat bermain untuk tempoh lama selain menguruskan diri berseorangan serta berjalan menggunakan tongkat.

“Ikutkan hati, saya tidak mahu lagi bermain tetapi keluarga banyak memberi semangat hingga saya kembali bangkit dengan menyertai kejohanan bola jaring di Korea Selatan pada 2017 dan meraih pingat perak ketika itu,” katanya yang juga pernah mewakili negara dalam Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia di Bostwana, Afrika pada tahun sama.

Noor Haidayu yang bermain di posisi tengah (C) dan penyerang sayap (WA) dalam pasukan berkata, selain mencipta lebih banyak kejayaan dalam sukan berkenaan, dia turut berharap dapat berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada dengan menjadi jurulatih bola jaring satu hari nanti.


NOOR HAIDAYU bersama pasukannya.

Katanya, dia sedar perjalanan untuk ke arah itu masih jauh tetapi akan terus berusaha dengan menimba pengalaman menerusi penyertaan dalam kejohanan selain menyertai kursus kejurulatihan supaya hasratnya itu tercapai.

“Selagi mampu, saya akan terus aktif dalam sukan ini namun sedar faktor umur memainkan peranan untuk bermain di gelanggang.

“Namun, bagi saya, ada lagi cara untuk memajukan sukan ini dan salah satunya adalah dengan menjadi jurulatih.

“Diharap, impian itu tercapai kerana saya mahu lebih ramai anak muda menceburi sukan ini sekali gus mengharumkan nama negara mene­rusinya,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:19 PM