LUKISAN mural yang dihasilkannya.
LUKISAN mural yang dihasilkannya.
MOHD Aliff mahu ketengahkan karya di pameran antarabangsa.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Sejak menuntut di peringkat diploma, Mohd Aliff Ahmad, 28, sudah mengambil inisiatif dengan menyertai pameran seni malah hasil karyanya juga pernah dipamerkan dalam satu acara di Australia.

Keinginan untuk mengetengahkan hasil karya juga mendorong Mohd Aliff menyertai pertandingan seni anjuran Nando‘s pada tahun sama dan meskipun sekadar mendapat hadiah sagu hati, dia puas hati kerana dapat mengambil bahagian.

Baginya, pertandingan itu satu platform yang baik untuk mendapat pendedahan awal dan menimba ilmu daripada pelukis berpengalaman.

Malah, berkat kesabaran dan kesungguhan itu, dia kini mempunyai studio yang dibuka bersama dua rakannya pada Jun tahun lalu.

“Perjalanan sebagai pelukis sepenuh masa bermula selepas tamat pengajian dan saya tidak berseorangan sebaliknya mendapat bimbingan dua pelukis senior iaitu Adeputra Masri dan Latif Maulan di Galeri TitikMerah, Publika, Kuala Lumpur.

“Mereka berdua banyak membantu terutama berkaitan teknik menghasilkan lukisan dan pada masa sama, saya cuba mempraktikkan apa yang dipelajari ketika di universiti.

“Pada awalnya, saya lebih cenderung menghasilkan karya genre realisme dan ada kalanya potret, tetapi beralih kepada mural kerana adanya permintaan daripada syarikat korporat dan individu,“ katanya yang turut menjadi pengajar sambilan di Sekeping Jugra, Jalan Klang Lama pada hujung minggu.

Menurut Mohd Aliff, selain dapat membuka studio sendiri, pencapaian terbesarnya adalah apabila dapat mengadakan pameran seni secara solo pada tahun lalu.

Katanya, ia impian setiap pelukis dan dia kini mengharapkan peluang untuk menyertai pameran di peringkat antarabangsa.

“Untuk bertahan dalam bidang ini, saya perlu sentiasa konsisten terutama dalam menghasilkan karya yang berkualiti.

“Ia kerana banyaknya persaingan, tetapi pada masa sama, bidang ini jadi lebih menyeronokkan apabila sasaran tercapai.

“Secara peribadi, saya mengharapkan pencapaian tahun ini lebih baik dan terima kasih kepada keluarga yang banyak memberi sokongan untuk terus berkarya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 5:36 AM