MUHAMMAD Zulhusnie mahu merangka lebih banyak program bermanfaat untuk masyarakat.
MUHAMMAD Zulhusnie puas terbabit dengan aktiviti sukarelawan.
MUHAMMAD Zulhusnie puas terbabit dengan aktiviti sukarelawan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Mengajar pelajar Pondok Bantan, Nakhon Thi Thammarat, Thailand berbahasa Melayu antara pengalaman berharga dan tidak dapat dilupakan oleh Muhammad Zulhusnie Khalib, 22, sepanjang terbabit dalam aktiviti sukarelawan.

Bukan sekadar menjadi tenaga pengajar tetapi penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Pengajian Al-Quran) Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup dan budaya masyarakat sepanjang hampir dua bulan menetap di sana.

Namun, cabaran itu yang mendidiknya untuk bersabar dan belajar berdikari ketika berjauhan dengan keluarga.

„Aktiviti itu dinamakan Program Guru Malaysia ke Thailand dan diadakan tiga tahun lalu ketika Ramadan apabila setiap sukarelawan ditugaskan mengajar kelas terdiri daripada 25 hingga 30 pelajar.

„Ketika itu, saya ditugaskan mengajar pelajar tingkatan tiga dana lima. Ia pengalaman yang menarik kerana perlu memperkenalkan ayat juga cara menyebut sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu.

„Jujurnya, ia bukan satu tugas yang mudah kerana pelajar berkenaan sudah terbiasa bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Bagaimanapun, sebagai pengajar, saya puas kerana dapat berkongsi ilmu yang ada selain mengenali mereka dengan lebih dekat,“ katanya yang juga anak ketiga daripada lima beradik.

Di samping program berkenaan, Muhammad Zulhusnie turut berpengalaman menyertai beberapa misi kemanusiaan antaranya di Kemboja dan Indonesia.

Pada masa sama, dia turut memegang jawatan penting di kampus iaitu Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) selain aktif menganggotai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).

„Sejak di sekolah lagi saya sudah diberi kepercayaan memegang jawatan antaranya Ketua Asrama dan Ketua Rumah Sukan jadi pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya untuk menjadi pemimpin ketika di peringkat universiti.

„Pengalaman menyertai PALAPES pula membantu saya menjadi seorang yang berdisiplin dan teliti dalam melakukan semua perkara.

„Jadi, tiada masalah untuk saya membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti luar bilik kuliah termasuk MPP, persatuan atau sukan selagi fokus dengan apa yang dilakukan,“ katanya.

Menurut Muhammad Zulhusnie, meskipun aktif dengan aktiviti kokurikulum, dia tidak sesekali mengabaikan pelajaran.

Katanya, menjadi hasratnya untuk mendapat keputusan cemerlang pada setiap semester supaya menjadi kebanggaan keluarga terutama kedua-dua ibu bapanya.

„Aktiviti sukarelawan cukup dekat dengan saya jadi akan terus merangka program pada masa akan datang untuk manfaat masyarakat dalam dan luar negara.

„Namun, pelajaran sentiasa menjadi keutamaan dan sebab itu, saya perlu konsisten mendapat keputusan cemerlang supaya layak mendapat biasiswa.

„Dengan keputusan cemerlang, saya dapat menggembirakan ibu dan ayah seterusnya merealisasikan cita-cita untuk bergelar pendidik,“ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 3:49 AM