KARNIVAL Sukan Remaja MBPJ cungkil lebih ramai bakat baru.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Program dwitahunan, Karnival Sukan Remaja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diteruskan lagi tahun ini sempena sambutan ulang tahun ke-12 Petaling Jaya berstatus bandar raya.

Karnival itu diadakan tiga hari bermula 20 April lalu dengan peruntukan RM52,110 untuk jumlah keseluruhan hadiah bagi setiap sukan dipertandingkan.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat MBPJ Abdul Hakim Khairuddin berkata, penganjuran karnival itu sebahagian inisiatif MBPJ untuk membantu pembangunan sukan remaja di samping mencungkil lebih ramai bakat baru.

Katanya, program itu juga diharap mengukuhkan perpaduan dan silaturahim antara kaum dalam kalangan kanak-kanak dan belia menerusi aktiviti dianjurkan.

“Terdapat sembilan acara sukan dipertandingkan dalam program berkenaan iaitu basikal, ‘push bike’, futsal, sepak takraw, badminton, tenis, bola jaring, bola sepak dan merentas desa.

“Acara itu dipertandingkan mengikut kategori iaitu lelaki dan perempuan bermula daripada bawah 11 tahun hingga 18 tahun.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan ia dapat dilihat menerusi rekod jumlah penyertaan yang dianggarkan seramai 5,200 orang terdiri daripada kanak-kanak dan belia dari dalam dan luar Petaling Jaya,” katanya.

Menurut Abdul Hakim, pihaknya berharap program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang dengan pembabitan lebih ramai belia.

Katanya, menerusi program itu, golongan muda mempunyai platform untuk menyerlahkan bakat dan potensi diri mereka selain mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ramai anak muda yang berbakat dalam sukan dan itu pentingnya program sebegini supaya kelebihan ada pada mereka tidak disia-siakan.

“Lagipun, penyertaan dalam program ini mewujudkan persaingan sihat selain meningkatkan jati diri dan keyakinan dalam diri masing-masing untuk terus berani menyahut cabaran.

“Untuk itu, MBPJ akan terus menyediakan ruang sebegini seiring Program Pembangunan Sukan dilaksanakan dan berharap ibu bapa turut sama memberi galakan kepada anak mereka,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Johary Anuar di satu majlis penutup yang diadakan di Stadium MBPJ, pada 22 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 1:19 PM