Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Kalau dulu, permainan video di PC mendapat perhatian kebanyakan remaja apabila ia diterbitkan bukan saja di platform Steam tapi juga diedarkan ke kafe siber seluruh negara.

Namun, lama-kelamaan, genre Massive Multiplayer Online (MMO) ini makin suram sambutannya kerana faktor populariti permainan mudah alih menarik perhatian generasi baru dan generasi lama yang tidak mempunyai masa terluang untuk duduk depan komputer.

Bagi menyaingi trend permainan mudah alih, Lineage II pernah diterbitkan di peranti pintar dan memperkenalkan ciri hampir sama seperti di PC. Tapi bagi sesetengah peminat, ia agak mengelirukan kerana terlalu banyak ciri diperkenalkan.

Kali ini, Koram Games Limited menerbitkan Dragon Nest M - SEA yang mudah difahami dan menyediakan pelbagai ciri yang menarik tapi tidak terlalu mengelirukan atau sukar difahami.

‘Auto-quest’

Apa yang menariknya, Dragon Nest M membuatkan anda betul-betul menikmati sesi permainannya. Sebagai contoh, ia mempunyai fungsi ‘auto-quest’ tapi tidak boleh digunakan ketika dalam perlawanan.

Berbeza dengan Lineage II, fungsi ini digunakan sebagai alternatif untuk memulakan sesi permainan tanpa perlu mengawal karakter anda. Sebagai contoh, anda boleh membuat tugasan tanpa menekan butang dan hanya membiarkan ‘game’ itu melakukannya secara automatik.

Pelbagai kelas dan kuasa sakti

Sama seperti di PC, Dragon Nest M mengekalkan semua karakter di versi permainan mudah alih. Daripada ‘Archer’ hinggalah ‘Sorceress’, pemain boleh memilih lima kelas berbeza yang setiap satunya mempunyai set kuasa dan keunikan tersendiri.

Daripada lima kelas permulaan ini, pemain boleh memilih dua cabang kemajuan. Sebagai contoh, ‘Sorceress’ boleh memilih untuk menjadi ‘Elemental Lord’ atau ‘Force User’. Dua kelas ini mempunyai kekuatan yang berbeza dan bergantung kepada pemain yang gemar untuk berlawan di arena ataupun membunuh raksasa dan menyiapkan tugasan utama.

Bahasa Korea masih kekal

Penggunaan audio dan dialog dalam bahasa Korea masih dikekalkan. Ini membuatkan pemain lebih menikmati Dragon Nest kerana sudah biasa dengan versi di PC sebelum ini.

Walaupun dalam bahasa Korea, pemain masih dibekalkan dengan sari kata apabila terdapat perbualan antara karakter. Bagi ruangan chat, pemain bebas menggunakan bahasa asal mereka sendiri.

Ciri baru

Selain itu, pemain boleh mengharapkan sesi permainan jangka panjang dengan fungsi yang disediakan. Mod seperti ‘Abyss’ membolehkan pemain berganding bahu bersama yang lain untuk siapkan tugasan.

Terdapat juga ciri sampingan yang wajar diberi perhatian seperti haiwan tunggangan dan kostum yang menyerlahkan lagi penampilan pemain.

Pemandangan 2.5D dan 3D

Pemain boleh memilih sudut kamera mengikut kesesuaian masing-masing. Bagi pemandangan 2.5D, ia lebih sesuai untuk menyaksikan perlawanan dari sudut yang agak jauh manakala 3D pula lebih sama seperti versi di PC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:45 AM