ANTARA hasil lukisan abstrak dihasilkan Nurul Helwa.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Selepas lima tahun bekerja sebagai jurutera, Nurul Helwa Zakaria memilih bergerak aktif sebagai pelukis sambilan bermula April tahun lalu.

Nurul Helwa berkata, keputusan itu dibuat kerana keinginan untuk serius dalam bidang seni walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas dan pendedahan mengenainya.

Menurut Nurul Helwa, lukisan abstrak menjadi pilihannya dan ia dihasilkan dengan mengambil ilham daripada pemandangan sekeliling.

Selain menterjemahkan minat menerusi lakaran di kanvas, Nurul Helwa turut menjadikan Instagram (IG) sebagai platform untuk berkongsi gambar hasil lukisan yang setiap satunya mempunyai mesej tersendiri.


NURUL Helwa memilih aktif sebagai pelukis sambilan.

“Sebelum aktif seperti sekarang, saya pernah menghasilkan lukisan potret dengan bayaran komisen untuk syarikat korporat pada 2015 dan selebihnya sekadar suka-suka.

“Namun, pertemuan dengan seorang ahli perniagaan mendorong untuk bergiat aktif dan saya masih ingat, lukisan pertama dihasilkan adalah pemandangan pada waktu senja.

“Ia sebuah lukisan abstrak dan saya mengambil masa selama sehari menghasilkannya dengan menggunakan cat akrilik sebagai medium utama,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Menurut Nurul Helwa, sebagai pelukis baru, dia perlu bijak mencari peluang, jadi penyertaan dalam pameran seni adalah antara cara untuk memperkenalkan hasil karya kepada pengunjung dan pencinta seni yang hadir.

Katanya, penyertaan dalam pameran berkenaan juga platform untuknya menjalin hubungan dengan pelukis lebih senior dan berpengalaman.


ANTARA hasil lukisan abstrak dihasilkan Nurul Helwa.

“Tahun lalu, saya mengambil bahagian dalam enam siri pameran bermula dengan penyertaan sulung bersama Art Market Malaysia di One Utama Shopping Centre pada Ogos dan IM4U Art pada Disember.

“Ia kemudian diteruskan tahun ini bermula di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur pada Mac, MATMEE-PERUPA di KL Gateway Mall, IMAGO Mundi, Jakarta, Indonesia dan akan datang di Victoria, Melbourne, Australia.

“Kepuasannya bukan saja kerana dapat turut serta dalam pameran disertai artis daripada pelbagai latar belakang, tetapi pengunjung datang melihat karya dihasilkan dengan lebih dekat,” katanya yang turut menjalankan perniagaan secara dalam talian.


ANTARA hasil lukisan abstrak dihasilkan Nurul Helwa.

Nurul Helwa berkata, minatnya dalam menghasilkan lukisan amat menebal sehingga dia sanggup menghabiskan kebanyakan masa dengan melukis pada masa terluang.

Baginya, apa dilakukan itu tidak sia-sia kerana semakin ramai mula menunjukkan minat dan menghargai karya seni yang dihasilkan pelukis di negara ini.

“Dulu, industri seni di negara ini mungkin agak perlahan berbanding di Eropah terutama dari segi penerimaan masyarakat terhadapnya.

“Kini saya dapat lihat wujudnya kelompok peminat seni yang mula menghargai karya pelukis tempatan. Malah, saya boleh katakan begitu kerana pernah menjual lukisan dengan harga RM8,000.

“Jadi, saya yakin bidang ini ada masa depannya cuma perlu ada keinginan untuk belajar dan tidak cepat putus asa. Buat masa ini, saya sedang mengumpul pengalaman dan berharap ada rezeki untuk membuka galeri sendiri satu hari nanti,” katanya.


ANTARA hasil lukisan abstrak dihasilkan Nurul Helwa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 12:12 AM