NURSABRINA (kanan) aktif dalam aktiviti sukarelawan sementara menanti peluang pekerjaan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Memiliki ijazah dalam bidang sains perubatan bukan jaminan untuk mendapat pekerjaan dengan mudah.

Menyedari hakikat itu, Nursabrina Abdul Aziz, 25, tidak mensia-siakan waktu terluang tanpa melakukan apa-apa sebaliknya memilih aktif dalam aktiviti sukarelawan.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, pembabitan dalam aktiviti berkenaan salah satu caranya untuk memberi sumbangan secara tidak langsung kepada komuniti.

Menurut Nursabrina, antara aktiviti sukarelawan disertainya termasuk Misi Bantuan Kemanusiaan Pasca Banjir bersama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), program bersama anak Orang Asli di Selangor dan pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) dan terbaru Ziarah Mahabbah ke Pusat Perlindungan Wanita Baitus Solehah bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

“Sejak dulu, cita-cita saya bergelar doktor tapi buat masa ini belum mendapat tawaran pekerjaan.

“Itu tidak bermakna saya berputus asa kerana meskipun belum bekerja, saya gunakan waktu yang ada untuk terbabit dalam aktiviti sukarelawan.

“Tujuannya supaya lebih dekat dengan masyarakat dan bagi saya, ia antara persediaan sebelum menjadi doktor. Ini kerana sebagai doktor, kita akan bertemu masyarakat daripada pelbagai lapisan umur jadi saya perlu membiasakan diri dengan mereka,“ katanya yang pernah menjalani latihan klinikal di Rumah Sakit Umum Dr Slamet Garut Jawa Barat, Indonesia.


NURSABRINA.

Nursabrina berkata, pembabitan dalam aktiviti sukarelawan juga memberinya peluang untuk mengamalkan ilmu dipelajari.

Antaranya ketika menyertai program pemeriksaan kesihatan yang tentunya berkait rapat dengan bidang pengajiannya iaitu sains perubatan.

“Proses pembelajaran di dalam bilik kuliah lebih kepada teori jadi untuk mempraktikkan apa yang dipelajari, kita perlu menimba pengalaman dengan menjalani latihan klinikal.

“Bagaimanapun, pengalaman itu juga tidak cukup dan ia antara sebab saya memilih aktif dalam aktiviti sukarelawan.

“Dengannya, saya dapat menimba pengalaman baru dan menariknya, setiap program yang disertai memberi peluang untuk saya menambah kenalan di samping membantu golongan memerlukan,” katanya.

Menurut Nursabrina, di samping terbabit dengan aktiviti sukarelawan, dia turut membantu menguruskan perniagaan keluarga bagi memanfaatkan masa terluang.

Katanya, dengan cara itu, dia dapat mempelajari selok-belok perniagaan dan yang berkaitan dengannya secara tidak langsung.

“Walaupun menuntut dalam jurusan sains perubatan, saya terbuka untuk mempelajari dan mencuba perkara baru.

“Salah satunya adalah perniagaan dan abang, Abdul Rejab banyak memberi tunjuk ajar memandangkan dia juga adalah usahawan pakaian.

“Pengetahuan dan pengalaman menguruskan perniagaan ini secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada saya walaupun ia bukannya dalam ruang lingkup bidang yang saya pelajari di kampus,” katanya yang bercadang menyambung pengajian dalam bidang neurologi.


NURSABRINA (berdiri tiga dari kanan) bergambar kenangan ketika menjalankan latihan industri di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:16 AM