JUFRISAFWAN bersama atlet boling pasukan Selangor.
JUFRISAFWAN mempersiapkan diri untuk mewakili kontinjen Selangor dalam SUKMA 2018.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Bermula dengan pembabitan ketika di peringkat sekolah akhirnya mendorong Jufrisafwan Jonedi, 20, serius menceburi sukan boling dan kini terus aktif serta giat membuat persediaan untuk mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, September depan.

Menurut Jufrisafwan, ia penyertaan sulungnya dalam SUKMA dan gembira kerana terpilih menyertai temasya dwitahunan itu.

Anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, pada mulanya, dia sekadar mengikut rakannya bermain boling, namun lama-kelamaan timbul minat hingga menjadikannya obses dengan sukan berkenaan.

“Pembabitan dalam sukan ini bermula ketika di tingkatan dua sebagai sebahagian aktiviti kokurikulum ketika itu.

“Mulanya sekadar suka-suka, namun saya jadi seronok untuk terus bermain hingga pernah menghabiskan masa di pusat boling dari pagi sehingga tengah malam.

“Mujurlah ibu dan ayah memberi galakan malah mereka sanggup membelanjakan kira-kira RM150 setiap hari supaya saya dapat menjalani latihan di pusat boling,” katanya yang memperuntukkan dua jam sehari untuk sesi latihan.

Menurut Jufrisafwan, latihan berterusan itu pernah menyebabkannya mengalami kecederaan serius pada bahagian siku.

Namun, kecederaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus aktif dalam sukan berkenaan kerana baginya ia perkara biasa bagi seorang atlet.

“Pada peringkat awal, saya menjalani latihan sendiri tanpa bimbingan jurulatih.

“Namun, percubaan itu berhasil apabila dapat menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS).

“Sebagai pemain amatur, saya gembira dengan pencapaian itu kerana bermula agak lewat dalam sukan ini berbanding individu lain,” katanya yang masih menuntut dalam Diploma Kejuruteraan Komputer di Management Science & University (MSU) Shah Alam, Selangor.

Selepas tamat persekolahan, Jufrisafwan berkata, dia bergerak sendiri dengan memberanikan diri menyertai Kejohanan Bowling Terbuka Singapura pada 2016.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan itu bertujuan menguji kemampuan diri untuk bersaing dengan pemain dari pelbagai negara yang lebih berpengalaman.

“Terdapat beberapa lagi kejohanan lain yang disertai selepas itu dan antara kenangan manis adalah apabila dapat menghadiahkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa buat kontinjen MSU ketika Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Februari lalu.

“Selain meraih kemenangan, saya juga pernah tewas dalam kejohanan dan kekalahan itu yang mengajar erti tidak berputus asa untuk terus memberikan yang terbaik.

“Kini misi saya memburu pingat emas dalam kejohanan SUKMA akan datang dan berharap dapat melakukan yang terbaik untuk kontinjen Selangor,” katanya yang mengagumi atlit boling kebangsaan, Ahmad Muaz Fishol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 2:32 PM