MOHD Firdaus dapat membiasakan diri walaupun perlu berada selama dua bulan di Tanzania.
MOHD Firdaus dapat membiasakan diri walaupun perlu berada selama dua bulan di Tanzania.
MOHD Firdaus bersama kanak-kanak ketika menyertai Misi Sukarelawan MyCorps di Zanzibar.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Berjauhan daripada keluarga dan perlu menyesuaikan diri dengan tempat baru adalah cabaran yang perlu dilalui seorang pengembara terutama di luar negara.

Namun, disebabkan keinginan kuat untuk meneroka pengalaman baru, Mohd Al-Firdaus Al-Musanna, 25, sanggup menyahut cabaran itu demi minatnya menyertai misi kemanusiaan.

Baginya, bukan mudah untuk mendapat peluang berkenaan lebih-lebih berada di sesuatu negara dalam tempoh lama untuk menyelami perasaan dan mendekati kehidupan masyarakatnya.

Bercerita lanjut, Mohd Firdaus berkata, sehingga kini, dia pernah menyertai beberapa misi bantuan kemanusiaan antaranya di Kelantan dan Pulau Pinang (misi bantuan banjir), Indonesia (2015), Thailand (2016) dan Laos (2017) tahun lalu.

Katanya, setiap misi berkenaan memberi pengalaman baru buatnya tetapi yang paling memberi kesan tentunya ketika menyertai misi sukarelawan MyCorps selama dua bulan di Tanzania, Afrika Timur bermula Januari hingga Mac lalu.

“Sebelum ini, saya berpengalaman menyertai misi kemanusiaan jadi tiada masalah untuk membiasakan diri walaupun terpaksa menjalani cara hidup seperti masyarakat di sana.

“Cuma, cabaran kali ini lebih besar kerana mengambil masa selama dua bulan berbanding beberapa hari saja untuk misi terdahulu.

“Namun, semua urusan saya dipermudahkan sepanjang menetap di Zanzibar iaitu negeri di Tanzania. Boleh dikatakan masyarakat di sana cukup ramah dan menyambut baik kedatangan setiap kali kami tiba di sesuatu tempat.

“Keadaan itu jauh berbeza dengan tanggapan saya terhadap mereka sebelum menjejakkan kaki ke sana,” katanya yang menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Marin di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET).

Menurut Mohd Firdaus, terlalu banyak pengalaman menarik sepanjang berada di sana namun yang paling tidak dapat dilupakannya adalah ketika bertemu murid sewaktu berkunjung ke sebuah madrasah.

Katanya, walaupun banyak kekurangan dari segi kemudahan, mereka bersemangat untuk datang ke kelas demi menuntut ilmu.

“Terdapat kira-kira 200 pelajar di madrasah berkenaan dan mereka bukan saja tiada kelengkapan mengajar tetapi perlu bersesak dalam kelas.

“Paling menyedihkan adalah ketika saya bertemu dua pelajar datang ke kelas tanpa membawa beg galas tetapi plastik berisi buku yang sudah lusuh.

“Ia membuatkan hati saya tersentuh kerana walaupun banyak kekurangan, mereka ada keinginan untuk belajar cuma tidak berkemampuan disebabkan kemiskinan,” katanya .

Menurut Mohd Firdaus, meskipun sudah pulang ke tanah air, dia tetap bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di sana untuk memastikan pembinaan tiga sekolah dan sebuah madrasah diteruskan seperti yang dirancang.

“Ikutkan, misi kami di sana belum selesai tetapi tidak dapat tinggal lebih lama kerana perlu pulang ke tanah air pada waktunya.

“Bagaimanapun, ia tidak terhenti setakat itu kerana kami akan terus berhubung dengan NGO di sana bagi mengetahui perkembangan terkini dan memberi bantuan diperlukan dari sini.

“Setakat ini, dua madrasah sudah disiapkan manakala satu lagi sedang dibina sementara sebuah sekolah hampir siap sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 7:04 AM