LOGO tengkorak yang diukir menggunakan pahat.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my

Pengalaman bekerja sebagai mekanik memberi kelebihan kepada Juridwan Sabturani, 28, mengubah suai motosikalnya sendiri tanpa perlu menghantar ke bengkel.

Menariknya, pemuda berkenaan melakukan pengubahsuaian dengan menggunakan bahan kitar semula dan ia dilakukan kerana minat serta kepuasan peribadi.

Tahap kreativitinya yang luar biasa juga membuktikan ‚hobi mahal‘ ini bukan untuk orang berada saja dan ia terbukti apabila dia dapat mengubah suai Modenas Kriss MR1 menjadi Cafe Racer.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Sabah ini berkata, dia membeli motosikal terpakai model Modenas Kriss ini sekitar 2010 kerana tahan lasak dan mudah mendapatkan alat ganti.

“Sebenarnya, saya memang peminat motosikal klasik tetapi kekangan kewangan menyebabkan saya mendapat idea untuk mengubah suai motosikal ini persis Cafe Racer.

“Bagi mendapatkan hasil yang diinginkan, saya jadikan YouTube sebagai rujukan dengan melihat cara pengubahsuaian di saluran berkenaan.

“Memandangkan kos pengubahsuaian di bengkel agak mahal, saya lakukan di rumah tanpa peralatan yang cukup dan kimpalan manakala setiap bahagian atau aksesori yang dipasang diikat menggunakan skru sahaja untuk menjimatkan kos,” katanya.

Juridwan berkata, kemungkinan dia orang yang pertama mengubah suai motosikal Modenas Kriss menjadi motosikal klasik.

“Saya teruja mengubah suai motosikal ini kerana tiada lagi orang lain yang melakukan idea kreatif sebegini ke atas Modenas Kriss.

“Disebabkan minat juga, saya sanggup mengorbankan masa tidur dengan berjaga pada waktu malam untuk mengubah suai motosikal menjadi seperti yang diinginkan.

“Dari segi reka bentuknya, saya mendapat ilham daripada Cafe Racer model klasik dan setiap bahagian aksesori yang diperlukan membabitkan modal sehingga RM350 terutama ‘fairing’.

“Oleh itu, saya mendapat idea memasang ‘fairing’ menggunakan topi keledar lama walaupun tidak berapa pasti bagaimana hasilnya nanti,” katanya.

Katanya, topi keledar berkenaan digosok sampai licin sebelum dipotong mengikut bentuk ‘fairing’ asli Cafe Racer menggunakan gergaji besi.

“Saya luangkan masa hampir dua jam membuat fairing sebelum mencari idea untuk selarikan tempat duduk dan tangki.

“Secara tiba-tiba, saya terfikir menggunakan batang besi piring Astro untuk dijadikan tapak tangki minyak. Tangki minyak asal saya buka dan gantikan dengan tangki minyak Suzuki yang dibeli di Dataran Merdeka.

“Selepas berjaya selarikan tempat duduk dan tangki minyak, saya puas dan gembira kerana daripada Modenas Kriss bertukar wajah menjadi persis Cafe Racer.


JURIDWAN bersama motosikal yang diubahsuainya.

“Bagi tampak lebih garang dan menarik, saya mula tambah beberapa aksesori menggunakan bahan terpakai. Percaya atau tidak saya menghasilkan logo bagi melambangkan identiti motosikal ini di atas sekeping papan kek.

“Saya mengukir tengkorak menggunakan pahat mata kecil dan mengambil masa selama sehari saja untuk menyelesaikannya,” katanya.

Jika Juridwan boleh menghasilkan logo di atas sekeping papan kek, tidak hairanlah dia juga menambah aksesori bahagian belakang motosikalnya persis ‘bontot’ semut daripada bahan fiber. Memang kreatif dan inovatif!

Anak ke-11 daripada 14 beradik ini berkata, dia meminjam ‘cover set’ asli daripada rakannya untuk dijadikan acuan aksesori berkenaan.

“Aksesori ini juga saya hanya ikat menggunakan skru dan tidak mengimpalnya. Saya yakin dengan kekuatannya dan lebih mudah untuk diubah suai di kemudian hari.

“Di bahagian enjin pula, saya lekatkan keluli krom supaya tidak mudah karat kerana bahan asalnya daripada plastik.

“Sport rim saya gunakan yang asal tetapi tambah hos kompresor pada jejari rim sebagai aksesori tambahan untuk tampak lebih besar.

“Jika tapak tangki minyak saya gunakan batang besi piring Astro, tapak tempat duduk saya gunakan paip besi air yang dibengkokkan.

“Selain itu, tempat duduk juga saya ubah suai sendiri menggunakan plat besi sebelum dihantar ke kedai kusyen untuk ditambah span,” katanya.

Ternyata kreativiti tidak dapat dinilai daripada luaran kerana berkat kesabaran pasti memberi hasil yang menakjubkan.

Juridwan juga menyatakan ada yang berminat untuk membeli motosikalnya namun dia tidak berniat menjualnya.

“Saya gembira dan berpuas hati dapat menghasilkan sesuatu yang saya mahukan dan berharap idea serta cetusan saya ini bakal memberi inspirasi kepada peminat motosikal berjiwa muda seperti saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 12:59 PM