Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my

Mod Battle Royale bukanlah genre baru di peranti pintar. Sebelum ini terdapat banyak ‘game’ seperti Rules of Survival dan Knives Out yang sedia dimainkan pada bila-bila masa di iOS dan Android.

Tapi apabila Tencent melancarkan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) versi peranti pintar, ramai menunjukkan minat dan bermegah dengan pencapaian mereka dalam permainan mudah alih itu.

Kini, Fortnite pula sedang menunjukkan taringnya di pasaran telefon pintar. Baru dilancarkan hari ini tanpa jemputan khas, Fortnite Mobile akhirnya boleh dimainkan oleh semua pengguna iOS terutama mereka yang memiliki iPhone SE, 6S dan ke atas.

Apa yang menariknya? Permainan mudah alih ini membawakan mod Battle Royale daripada PC secara terus ke iOS. Ia boleh dikatakan pengalaman Battle Royale yang tidak mengecewakan.

Ia mempunyai peta yang sama, kandungan sama, ‘unlockables’, sesi permainan dan kemas kini mingguan. Cuma agak mengecewakan apabila pengguna iPhone 6S/SE ke atas yang bermula dalam versi iOS 11 saja boleh bermain.

Konsepnya mudah difahami, anda bersaing bersama 99 lagi pemain lain di seluruh dunia

di pulau terpencil. Bagi meneruskan hidup, anda perlu mencari senjata dan kelengkapan yang terdapat dalam bangunan.

Tapi yang membezakan ia daripada Battle Royale lain ialah kebolehan pemain untuk ekstrak bahan daripada bangunan itu bagi membina kubu anda sendiri

di mana saja. Lebih mengejutkan dan tidak masuk akal, kubu itu boleh dibina setinggi bangunan pencakar langit.

Perlu diingatkan di sini, Epic membolehkan pemain untuk berlawan dengan mereka

di platform berbeza seperti PC dan konsol. Ini mungkin agak merisaukan kerana pemain di PC akan mempunyai kelebihan.

Tapi lebih mengejutkan, ia berkesan. Semua butang kawalan ada di skrin jadi anda boleh gunakan jari untuk mengawal kamera dan menekan pelbagai butang bagi mengaktifkan senjata.

Dari segi visual, ia bukan saja cantik tapi Epic meletakkan satu ciri yang menarik iaitu bunyi tapak kaki yang boleh didengar dari audio. Selain itu, anda juga boleh melihat dari arah mana tembakan dibuat jadi ada lebih masa untuk bertindak balas kepada serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 1:16 PM