AHMAD Zaki memantau artis ketika menyiapkan mural.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Keinginan membantu lepasan universiti dan golongan muda mendorong Ahmad Zaki Zolkapli, 27, dan Dhiyaul Mohamad Ashraf Dawari, 27, menawarkan pekerjaan sebagai artis di syarikat mereka.

Ahmad Zaki selaku pengarah urusan Syarikat Mural Art Ventures berkata, tawaran itu bagi memberi peluang kepada mereka yang serius dalam bidang seni visual khasnya mural untuk mendapat pengalaman bekerja di samping mengasah bakat mereka.

Katanya, setakat ini, lima lepasan universiti diambil bekerja sejak Disember lalu dan bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka, modul pembelajaran mengandungi maklumat berkaitan dengan skop kerja sebagai seorang artis disediakan sebagai panduan.

“Sebelum menubuhkan syarikat ini, saya bekerja dalam bidang pembinaan sementara Dhiyaul Mohamad Ashraf sebagai editor video. Kami berdua tidak mempunyai latar belakang pengajian dalam seni visual atau seni lukis.

“Namun, Dhiyaul Mohamad Ashraf mempunyai pengalaman bekerja sebagai artis sepenuh masa selepas berhenti kerja di syarikat penerbitan akhbar dan majalah. Pengalaman itu memberi kelebihan untuk kami sama-sama menguruskan syarikat.


AHMAD Zaki (kiri) dan Dhiyaul Mohamad Ashraf tekad bimbing anak muda yang berminat menjadi artis.

“Selain minat, penubuhan syarikat ini lebih kepada inisiatif membantu anak muda supaya bakat dan kemahiran mereka dalam bidang seni tidak disia-siakan begitu saja,” katanya.

Menurut Ahmad Zaki, di samping melahirkan bakat baru, matlamatnya adalah menjadikan syarikat diusahakan sebagai sebuah pusat latihan seni mural menerusi bimbingan dan tunjuk ajar.

Katanya, ilmu dan kemahiran itu sangat penting kerana mampu beri nilai tambah kepada artis yang bekerja di syarikatnya.

“Selama ini, mereka mungkin hanya bergantung kepada hasil jualan karya seni untuk mendapatkan pendapatan.

“Sedangkan kaedah itu tidak praktikal di negara ini memandangkan terlalu sedikit individu yang sanggup berbelanja besar untuk membeli karya seni.

“Bagi memberi pengalaman bekerja lebih dekat dengan industri, kami berikan artis peluang menyiapkan karya mural tidak hanya di kafe atau restoran tetapi juga organisasi terkemuka dengan memberi kredit nama pada setiap karya supaya lebih dikenali,” katanya yang turut bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam dan Perdana bagi menarik penuntut yang berminat bekerja separuh masa sebagai artis.


AHMAD Zaki dan Dhiyaul Mohamad Ashraf bersama artis di bawah bimbingan mereka.

Sementara itu, Dhiyaul Mohamad Ashraf yang memegang jawatan pengarah seni berkata, dia pernah melalui kesukaran ketika di peringkat awal bergelar artis. Jadi dia cukup faham dengan masalah dihadapi golongan muda terutama lepasan universiti yang mempunyai minat tetapi tidak dapat meneruskan cita-cita kerana tiada peluang.

“Saya sendiri pernah mendapat tentangan keluarga ketika mula-mula menyatakan hasrat menjadi artis sepenuh masa tetapi disebabkan minat, saya tekad bertahan dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, percubaan itu berhasil dan saya yakin individu lain juga boleh berjaya jika benar-benar serius.

“Inisiatif membantu anak muda dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka juga antara cara saya memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman sepanjang bergelar artis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:06 PM