Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Pakaian atau kasut lama sering dibuang atau dibiarkan begitu saja meskipun ia masih dalam keadaan baik.

Ia sebenarnya boleh kelihatan menarik jika dibersihkan atau dengan syarat pemakai sendiri bijak menggayakannya tidak kira ke majlis formal atau kasual.

Jadi, hentikan tabiat membuang barangan dan mulai sekarang belajar kaedah suai padan pakaian bersesuaian dengan penampilan.

Mana tahu, ada di antara koleksi anda bernilai tinggi atau kini kembali menjadi trend kerana rekaannya yang tidak lapuk ditelan zaman.

Untuk itu, Gen Y kongsikan lima penyelesaian yang boleh dipertimbangkan sekiranya mahu memakai semula item seperti berikut:

1. Jaket denim

Kelihatan lusuh bukan alasan membiarkan jaket denim terperuk dalam almari kerana anda boleh menghantarnya ke dobi berhampiran untuk cucian kering.

Selepas dicuci, jaket itu bukan saja kelihatan bersih tetapi lebih selesa dipakai tidak kira dengan baju-T leher bulat, baju-T berkolar atau kemeja di bahagian dalam.

Manakala, mereka yang memiliki jaket bersaiz besar pula tidak perlu risau kerana padanan longgar semakin menjadi trend ketika ini.

Bukan hanya selebriti malah golongan pencinta fesyen tentunya menjadikan jaket denim longgar sebagai item wajib ada dalam almari pakaian mereka. Jadi tidak salah rasanya jika anda jadikan mereka sebagai inspirasi!


JAKET denim.

2. Seluar carik

Dulu, pemakaian denim atau seluar carik (koyak) sinonim dengan ahli kumpulan muzik rock tetapi kini tidak lagi kerana semakin ramai meminatinya.

Buktinya, bukan saja lelaki tetapi gadis turut memilih denim koyak untuk digayakan terutama pada waktu santai.

Jadi, lupakan niat anda untuk membuang seluar seperti ini sebaliknya jadikan ia sebagai padanan yang boleh menyerlahkan gaya.

Sekiranya tiada idea, rujuk bahan bacaan berkaitan fesyen di Internet dan suai padan mengikut penampilan anda!


SELUAR carik.

3. Kasut

Kasut terutama yang berwarna putih boleh menjadi lusuh jika tidak dipakai dalam tempoh lama atau dijaga dengan rapi.

Jadi, selain mencucinya, anda boleh menggunakan tali bercorak atau berwarna untuk nampak berbeza.

Pelbagai jenis warna dan corak tali kasut ada dijual di pasaran dan tentunya ia cukup mudah dipadankan dengan kasut putih.

Cuma, anda perlu gunakan kreativiti yang ada supaya kasut itu kelihatan seperti baru!


KASUT.

4. Baju-T

Baju-T lama sering kali dijadikan kain buruk atau alas kaki oleh segelintir individu sedangkan ia boleh digunakan jika tiada cacat celanya.

Antara alternatifnya adalah dengan memberikan tampalan bermotif kartun atau apa saja mengikut kegemaran anda pada baju berkenaan.

Tidak perlu tampal di semua tempat, memadai pada bahagian tertentu yang dirasakan perlu. Sekurang-kurangnya, baju itu tidak kelihatan kosong.

Jadi cuba dulu untuk lihat hasilnya nanti. Tentu anda tidak jadi untuk membuangnya jika hasil kreativiti sendiri itu memuaskan!


BAJU-T.

5. Topi

Ini antara aksesori kepala yang jarang dipakai. Jadi tidak hairanlah ia selalu terbiar begitu. Jika digunakan sekalipun, cuma ketika aktiviti riadah untuk melindungi kepala dan wajah daripada sinaran matahari.

Bagi mengelak ia terbiar, anda boleh menggunakan teknik tampalan hiasan, sama seperti yang dilakukan pada baju-T.

Alternatif lain adalah dengan memakainya ketika dalam mood malas untuk menggayakan rambut atau sebagai aksesori tambahan yang boleh digandingkan bersama tudung!


TOPI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 2:43 AM