ERNY jadikan minat sebagai salah satu cara untuk terjun dalam bidang perniagaan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Minat mendalam terhadap bidang perniagaan mendorong Erny Nur Aiman Zainal Abidin, 21, memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual sarung telefon bimbit ketika berumur 15 tahun.

Erny yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata, ketika itu dia tidak berfikir panjang sebaliknya terus mengambil risiko dengan menempah beberapa unit sarung telefon bimbit dari China secara dalam talian.

Katanya, barangan itu kemudian dijual kepada rakan di sekolah dan dia gembira kerana percubaannya ketika itu berhasil apabila mereka menunjukkan berminat untuk membeli.

“Saya terlalu obses dengan sarung telefon bimbit ketika di sekolah jadi daripada minat itu, timbulnya idea untuk menjualnya kepada rakan.

“Namun, saya tidak menempahnya daripada pembekal tempatan sebaliknya terus membuat tempahan dari China kerana tertarik dengan harganya yang murah.

“Risau juga menjadi mangsa penipuan memandangkan barangan itu dibeli dengan wang simpanan sendiri namun saya bernasib baik kerana ia tidak berlaku,” katanya yang juga anak bongsu daripada empat beradik.

Katanya, pada tahun berikutnya, dia beralih pula dengan menjadi ejen bagi baju kurung tetapi tidak lama sebelum beralih kepada beg dan tudung di bawah label sendiri selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Erny, dia tidak bersendirian sebaliknya dibantu kakak ipar untuk mengambil tempahan memandangkan masih menuntut dalam jurusan Pengajian Perniagaan di peringkat diploma.


ERNY memulakan perniagaan ketika berumur 15 tahun kerana obses terhadap sarung telefon bimbit.

“Saya belum tamat pengajian jadi tidak boleh menguruskan sendiri dan bersyukur kerana kakak ipar sudi membantu.

“Namun, saya tetap berurusan dengan pelanggan termasuk menerusi di Facebook dan Instagram yang kini mempunyai lebih 18,000 pengikut.

“Sebagai seorang yang obsesi dengan tudung dan beg tangan, saya rasa berpuas hati kerana minat itu akhirnya boleh menjadi satu sumber pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada keluarga,” katanya.

Erny berkata, minat terhadap barangan yang feminin itu juga memberinya peluang untuk bekerjasama dengan selebriti .

Katanya, dia juga gembira kerana mempunyai pengalaman berurusan dengan pelanggan dan pembekal dari luar negara.

“Tiada apa yang mahu saya buktikan kecuali keinginan untuk berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi.

“Secara tidak langsung, itu dapat membuka mata individu sekeliling termasuk golongan muda bahawa obses atau minat terhadap sesuatu tiada salahnya jika bijak memanfaatkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:26 AM