NUR Areefah aktif sebagai sukarelawan bagi membantu mereka yang mengalami masalah kemurungan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Keinginan membantu mereka yang mengalami gangguan mental mendorong graduan psikologi, Nur Areefah Che Ahmad Tantowi, 25, aktif sebagai sukarelawan dalam Persatuan Cakna Mental Malaysia (MeCare) sejak Oktober tahun lalu.

Menurut Areefah, penyertaan dalam persatuan itu juga kerana rasa tanggungjawab dalam membantu mereka mendapatkan kekuatan untuk berkongsi masalah memandangkan dia pernah mengalami penyakit bipolar yang serius satu ketika dulu.

Jadi, dia mengerti perasaan pesakit yang amat memerlukan sokongan moral daripada individu sekeliling dan keyakinan bertemu dengan pakar.

“Sebelum mengalami masalah berkenaan, saya seorang periang, aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiada masalah bergaul dengan individu sekeliling.

“Namun, segalanya berubah selepas mengalami penyakit bipolar hingga sikap saya berubah 180 darjah menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap.

“Ia berlaku dengan tiba-tiba dan gangguan itu juga menyebabkan saya menutup media sosial yang selama ini menjadi medium penghubung dengan rakan,” kata anak kedua daripada empat beradik.

Gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, pada awalnya, dia sukar menerima keadaan itu lebih-lebih dengan status dirinya yang bergelar penuntut jurusan psikologi.

Katanya, pandangan serong individu sekeliling juga menambah tekanan namun sokongan keluarga menguatkan dirinya untuk terus kuat melawan penyakit walaupun bukan mudah.

“Saya belajar dalam jurusan psikologi jadi faham kenapa ada yang beranggapan tidak seharusnya mengalami masalah ini.

“Namun, perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa saja cuma bagaimana kita melawan gangguan itu daripada berterusan.

“Pada mulanya memang agak sukar menerima kenyataan tetapi kuatkan semangat untuk bertemu pakar bagi mendapatkan nasihat sebelum menjalani terapi,” katanya.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, Areefah berusaha melawan penyakit berkenaan supaya dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih tenang.

Katanya, dia yakin pesakit lain juga boleh menghentikan penderitaan mereka dengan syarat mereka positif dan tidak bertindak mengikut emosi.

“Saya pernah rasa sakit jadi tidak mahu individu lain terutama remaja lain mengalami penderitaan sama.

“Jadi, sebelum menjadi serius, saya nasihatkan mereka bertemu dengan pakar bagi berkongsi masalah dialami.

“Setiap masalah ada penyelesaiannya termasuk masalah bipolar dan kemurungan. Oleh itu, di persatuan My Care sendiri, kami mempunyai golongan profesional yang boleh membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:59 AM