NUR Alyani.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my

“Saya akan teruskan perjuangan ini demi merealisasikan impian arwah ayah untuk melihat anaknya ini beraksi di peringkat dunia,“ kata atlet boling padang, Nur Alyani Jamil yang ditemui wartawan, baru-baru ini.

Kehilangan ayah tersayang dua tahun lalu membakar semangat Nur Alyani, 25, untuk menempa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Nur Alyani atau lebih mesra dengan panggilan kakak berkata, pembabitannya menerusi sukan ini bermula daripada ayahnya menyebabkan dia sentiasa mengenang arwah.

“Sebenarnya arwah ayah dan ibu adalah bekas jurulatih boling padang. Dari kecil saya sudah didedahkan dengan sukan ini dan mula timbul minat ketika berusia 10 tahun.

“Setiap kali ayah melatih anak didiknya di Padang SUKPA Kuantan, Pahang, saya akan turut menyertai mereka. Bakat saya kemudian disedari arwah ayah dan dia melatih saya tanpa jemu sehingga mahir,“ katanya.

Selepas dua tahun menguasai teknik dan kemahiran bermain boling padang, Nur Alyani mula melangkahkan kaki ke alam pertandingan sebenar. Wanita muda ini kemudian terpilih mewakili Pahang untuk beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Kedah dalam acara bertiga.

“Namun rezeki tidak berpihak kepada kumpulan kami. Bagaimanapun, kekalahan itu pembakar semangat saya untuk terus berusaha dan cuba memberi yang terbaik pada pertandingan seterusnya,“ katanya.

Menurut Nur Alyani, dia menyertai banyak pertandingan untuk mencari pengalaman dan memantapkan prestasi yang dimiliki.

“Usaha yang berterusan menyebabkan saya sekali lagi dipilih mewakili Pahang beraksi di SUKMA Terengganu 2008 dalam acara individu dan berjaya meraih pingat gangsa.

“Pingat itu adalah pingat pertama yang diraih menerusi acara besar dalam hidup saya. Kenangan itu tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Pada 2010 pula, saya mewakili Pahang ke SUKMA Melaka 2010 dalam acara beregu dan berjaya meraih pingat perak.

“Kejayaan selangkah ke hadapan sekali gus menaikkan semangat saya untuk terus berusaha menggenggam emas,“ kata anak keempat daripada lima beradik ini.


NUR Alyani.

Nama anak kelahiran Pahang ini mula menyerlah ketika menyertai Kejohanan Circuit Kebangsaan 2011 anjuran Persatuan Lawnbowls sekali gus membuka peluang untuknya bernaung di bawah skuad kebangsaan.

“Saya berjaya menduduki tangga ke-8 untuk disenaraikan sebagai atlet skuad kebangsaan. Pada masa yang sama, saya menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menyebabkan saya melepaskan tawaran menjadi sebahagian skuad kebangsaan.

“Jika memilih menyertai skuad kebangsaan, saya perlu tangguhkan pengajian sedangkan saya masih tidak nampak hala tuju menerusi sukan ini.

“Memang berat untuk lepaskan tetapi saya yakin suatu hari nanti pasti dapat bernaung di bawah skuad kebangsaan semula,“ katanya yang mengambil jurusan Diploma Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM Shah Alam.

Walaupun terpaksa melepaskan peluang keemasan itu, Nur Alyani tetap meningkatkan prestasi dan fokus kepada pelajaran.

“Tahun 2014 sangat bermakna buat saya kerana setiap pertandingan yang disertai pasti akan melepasi peringkat akhir. Prestasi itu saya berjaya kekalkan selama dua tahun berturut-turut dan mendapat perhatian pihak persatuan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kemudian, saya ditawarkan semula bernaung di bawah skuad kebangsaan dan dihantar untuk beraksi di Asia Pacific Merdeka Indoor di Bayu Mas, Klang dalam acara beregu campuran dan berempat campuran.

“Kumpulan kami meraih gelaran juara keseluruhan dan sejak menyertai skuad kebangsaan saya nampak peluang lebih cerah untuk beraksi di peringkat antarabangsa,“ katanya.

Kata Nur Alyani, selepas berjaya meraih pingat emas dalam acara beregu di Singapura pada 2016, dia terus menyasarkan untuk melayakkan diri beraksi di Sukan SEA KL 2017.

“Pada 2017, saya dihantar menjalani latihan selama sebulan di Afrika Selatan dan potensi bakat saya dilihat jurulatih dan pihak pengurusan sekali gus melayakkan saya beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya beraksi dalam acara berempat dan kumpulan kami berjaya memberi pingat emas pertama boling padang kepada negara. Bagi saya, itu adalah pencapaian terbaik saya sepanjang bergelar atlet negara,“ katanya yang pernah menyertai lebih 50 pertandingan di dalam dan luar negara.

Nur Alyani berkata, dia kini mempersiapkan diri untuk beraksi di pertandingan World Single Champion of Champion di Sydney Australia pada hujung Oktober ini.

“Saya akan bertanding dalam acara individu dan satu-satunya wakil perempuan dari Malaysia.

“Saya berharap dapat membawa pulang pingat emas dan mengharumkan nama negara di persada dunia,“ katanya yang bercita-cita untuk beraksi di World Bowls suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 12:26 AM