PAMERAN terjemahkan zaman kanak-kanak dan remaja dua artis muda.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Unik dan bermakna. Setiap coretan di atas kanvas bukan saja menggambarkan kenangan zaman kanak-kanak tapi turut menyelitkan identiti dan keharmonian di Malaysia.

Menterjemahkan persamaan dalam rangka kaum yang pelbagai di Malaysia, dua artis muda menampilkan koleksi karya seni visual dalam satu pameran berjudul ‘The Frames of Two Cultures’.

Pameran yang berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya itu menampilkan hasil kerja tangan pemenang anugerah Most Promising Artist of the Year - UOB Painting of the Year (Malaysia) untuk 2014 dan 2016, Husin Othman dan Ng Kok Leong.

Menariknya, kedua-dua artis itu sering mengenangkan zaman kanak-kanak dan remaja masing-masing di perkampungan sekitar Perak.

Menerusi cerminan nostalgia dengan elemen kontemporari masa kini, hasil seni dalam pameran berkenaan memperlihatkan satu dokumentari naratif yang menonjolkan pembangunan dan kemajuan negara.

Pada masa sama, artis turut menzahirkan rasa kasih dan kepercayaan kepada negara pada setiap karya yang dihasilkan.

Terdiri daripada dua kaum dengan budaya berbeza, kedua-dua artis memperlihatkan pembawaan dan teknik berlainan dalam persembahan seni masing-masing.


KARYA Husin menggunakan medium akrilik di atas kanvas berjudul ‘Rakan Kongsi Gelap’.

Sesuai dengan judulnya, ‘The Frames of Two Cultures’, koleksi karya pada pameran itu menceritakan cita-cita, kesamaan dan ciri kompleks dalam rangkuman kedua-dua kaum Cina dan Melayu.

Sebanyak 15 lukisan ditampilkan dan antara medium yang diketengahkan adalah akrilik di atas kanvas, akrilik di atas kain jut dan gabungan akrilik serta getah di atas kain jut.

Menghayati karya Husin di ruang Galeri Core Desgn, penonton pasti teruja melihat perkongsian artis itu mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya yang memfokuskan kepada hobi dan permainan kampung yang hampir pupus.

Dalam pameran kali ini, Husin turut menggabungkan lapisan atas lapisan dengan pelbagai objek rawak. Teknik yang digunakan itu menghasilkan satu komposisi kontemporari yang menyentuh hati sambil memberi makna tersirat di sebalik visualnya.

Ng pula menampilkan kepelbagaian teknik dengan menggabungkan medium getah dan akrilik di atas satu kanvas.


NG tampilkan gabungan akrilik dan getah di atas kanvas pada karya berjudul ‘Illusion Overlapping’.

Berasal dari latar belakang penerbitan filem dan pengiklanan, karya seni Ng menampakkan kesan tekstur yang bersifat semi-abstrak.

Seakan-akan kamera video yang bergerak melalui ruang masa, tekniknya menghasilkan kesan lukisan semi-abstrak yang samar-samar.

Selain itu, Ng turut menonjolkan kesan misteri dan surealisme apabila menunjukkan peralihan masa lampau, masa kini dan masa depan dalam satu ruang kanvas.

Pameran yang berlangsung sehingga 28 Mac ini terbuka kepada orang ramai dan masuk percuma. Kunjungi Galeri Core Design di 87, Jalan SS15/2A, Subang Jaya Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 1:42 AM