AHLI PEERS terus menjadi antara kaunselor dan penuntut di UiTM kampus Segamat.
AHLI PEERS aktif menganjurkan program di dalam dan luar kampus.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Tidak semua individu mempunyai keyakinan dan keberanian untuk bertemu kaunselor bagi meluahkan masalah yang terpendam.

Malah, seakan-akan ada satu stigma dalam masyarakat yang melabelkan individu bertemu dengan kaunselor sebagai golongan bermasalah.

Demi mengubah persepsi itu, Persatuan Peer Kaunselor (PEERS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat, Johor terus aktif menjadi perantara yang mendekatkan kaunselor dengan penuntut.

Presiden PEERS Mohd Radzi Ab Karim berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti santai di dalam dan luar kampus.

“PEERS ditubuhkan sejak 11 Disember 2013 dan kini dianggotai 18 ahli terdiri daripada penuntut pelbagai jurusan dan fakulti.

“Peranan persatuan adalah mengenal pasti penuntut bermasalah dan menarik mereka menyertai program yang turut disertai kaunselor di bawah unit bimbingan kaunseling dan kerjaya.

“Di samping itu, PEERS turut menganjurkan program berbentuk khidmat masyarakat antaranya sesi motivasi dan kaunseling selain menjadi tutor bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik untuk murid sekolah rendah seperti mana yang dilakukan pada tahun lalu menerusi aktiviti Class of Hope,” katanya.

Menurut Mohd Radzi, sehingga kini, program dianjurkan mendapat maklum balas positif termasuk daripada pihak sekolah yang mahu ia diteruskan lagi kerana berpuas hati dengan pengisiannya.

Oleh itu, Mohd Radzi berkata, lebih banyak program dirancang dan paling utama dalam bentuk santai dan sesuai dengan jiwa golongan muda.

“Baru-baru ini, PEERS menganjurkan program jalinan pendidikan dan kebudayaan pengantarabangsaan buat julung kalinya.

“Sambutannya agak memberangsangkan dan bagi memastikan pengisiannya sentiasa menarik, kami akan mengadakan mesyuarat untuk bertukar idea.

“Dari segi dana pula, kami berusaha mendapatkannya menerusi aktiviti jualan keusahawanan yang diadakan antaranya di kawasan tumpuan penuntut dalam kampus iaitu ‘Speaker Corner’,” katanya.

Sementara itu, kaunselor merangkap penasihat PEERS, Wan Noradila Wan Mohd Zain berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan persatuan dalam mendekati warga kampus terutama penuntut menerusi pelbagai program yang dianjurkan.

Katanya, usaha itu diharap dapat mengubah persepsi penuntut terhadap kerjaya kaunselor yang seharusnya didekati dan bukan dijauhi.

“Kebanyakan individu termasuk golongan muda enggan bertemu kaunselor kerana malu untuk meluahkan masalah dan kita tidak mahu ia terus dijadikan alasan sehingga berlakunya kes lebih buruk contohnya kemurungan akibat sikap ambil mudah terhadap sesuatu perkara.

“Tanggungjawab kita adalah membantu mereka dan persatuan ini sebahagian platform yang ada untuk mendekati semua golongan terutama penuntut daripada pelbagai latar belakang.

“Sejak ditubuhkan, banyak impak positif dapat dilihat dan kita berterima kasih kepada ahli kerana memainkan peranan sebagai pembimbing rakan sebaya serta perantara antara penuntut dan kaunselor menerusi penganjuran program di dalam dan luar kampus,” katanya.

Sementara itu, mantan Naib Presiden PEERS yang masih bersama persatuan, Mohd Syakir Hashim, 22, berkata, banyak pengalaman diperolehnya sejak menyertai persatuan.

Katanya, pengalaman itu amat berguna dan akan dimanfaatkannya ketika memasuki alam pekerjaan nanti.

“Saya menyertai persatuan sejak di semester satu lagi dan secara peribadi, saya berpuas hati kerana dapat turut serta dalam pelbagai aktiviti sukarelawan antaranya program mendekati gelandangan di Dataran Merdeka.

“Menerusi program itu, saya dan ahli lain dapat mendekati masyarakat luar, sekali gus melihat gambaran sebenar mengenai kehidupan mereka yang sebelum ini hanya dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik saja.

“Selain itu, penyertaan dalam persatuan ini juga mengajar saya untuk tenang dalam menghadapi cabaran terutama ketika mengumpul dana bagi menganjurkan program,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:53 AM