ANAK muda ini mencuri perhatian kerana berjaya selesaikan masalah perisian Document Conversion.
ANAK muda ini mencuri perhatian kerana berjaya selesaikan masalah perisian Document Conversion.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Siapa sangka, anak muda ini bukan saja mahir memprogram permainan komputer, tetapi pakar dalam kecerdasan buatan (AI) pada usia muda.

Pada usia lima tahun, anak muda ini menyangka pemprograman itu adalah permainan yang membuatkan dia seronok meneroka bidang itu.

Minat yang mendalam terhadap ‘mainan’ itu mendorong Tanmay Bakshi, 14, mencipta aplikasi sendiri seawal usia sembilan tahun.

Menariknya, anak muda yang pakar dalam bidang teknologi ini bukan saja sudah menghasilkan buku dan mengacara di TEDx Talk tapi turut dijemput berucap di persidangan terkemuka iaitu IBM Watson.

Namun, keseriusan anak muda berdarah campuran India dan Kanada ini bermula ketika berumur tujuh tahun apabila dia mula membuka saluran di YouTube.

Tanmay memuat naik video tutorial untuk pemprograman dan pembangunan web dengan setiap video menerima ribuan soalan daripada pelayar YouTube seluruh dunia.

Menurut Tanmay, minat pada pemprograman itu dipupuk oleh ayahnya sendiri yang juga seorang juruprogram komputer.

Katanya, setiap kali melihat ayahnya membuat pemprograman, dia akan duduk di sebelah dan melihat penuh tekun secara tidak langsung mewujudkan rasa ingin tahu serta ingin mencuba.

“Saya teruja melihat bagaimana komputer mampu melakukan pelbagai perkara menerusi pemprograman.

“Saya ingin tahu apa yang berlaku di sebalik komputer itu dan lihat bagaimana kita mampu mengawal dan memberi arahan kepada komputer untuk melakukan sesuatu,” katanya.

Bapanya, Puneet Bakshi turut menyedari minat Tanmay selepas memerhati anaknya yang begitu fokus setiap kali melihat dia melakukan pemprograman.

Menyedari hal itu, Puneet menggalakkan anaknya menceburi bidang pemprograman walaupun ketika itu hanya untuk suka-suka dan dia sekadar bermain.

Puneet mula mengajar asas pemprograman kepada Tanmay dan dari situ anak muda itu mula menambah serta mengembangkan pengetahuan menggunakan Internet selain turut membaca buku pemprograman.

Namun, beberapa tahun selepas mendalami dan mahir dalam pemprograman Tanmay akhirnya bosan dengan bidang itu.

Menurutnya, teknologi itu terhad dan ia cepat lapuk. Ini menjadi permulaan bagi Tanmay untuk semakin dikenali.

Pada usia 11 tahun anak ini mula beralih minat pada AI selepas melihat satu dokumentari mengenai teknologi itu di YouTube.

Katanya, itu pertama kali dia mendengar mengenai AI dan turut mengubati kebosanannya.

Itu turut menjadi permulaan bagi Tanmay untuk menghayati IBM Watson dan AI dan tidak lama selepas itu berjaya membangunkan aplikasi Watson sendiri.

Tanmay turut mencuri perhatian IBM selepas dia berjaya menyelesaikan isu pada perisian yang dibangunkan IBM dan diberi nama Document Conversion.

Anak muda itu memuat naik penyelesaian bagi mengatasi masalah perisian itu di Twitter dan juruprogram IBM terus menghubunginya. Lantaran itu, dia sering dijemput IBM untuk ke persidangan di serata dunia.

Kini anak muda ini semakin dikenali ramai sehingga wujud ura-ura mengatakan dia diambil bekerja oleh Google dengan gaji jutaan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:45 AM