Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Setiap negara mempunyai cerita dongeng berbeza, begitu juga latar belakang budaya. Kim Swazervik, 28, yang berasal dari Poland ini berkongsi ceritanya yang berkesempatan turut sama memeriahkan Hari Baba Marta yang diadakan setiap 1 Mac di Bulgaria.

Pada awalnya dia tidak tahu mengenai hari istimewa yang diraikan pada tanggal itu. Selama dua minggu di Bulgaria, dia mengisi masa dengan melawat tempat bersejarah dan lokasi tumpuan pelancong di kota Sofia.

“Walaupun musim sejuk dan bersalji, saya tidak kisah untuk keluar meneroka tempat baru. Mungkin kerana negara saya sendiri yang ada ketikanya suhu lebih sejuk pada musim dingin berbanding di sini (Bulgaria), jadi sudah terbiasa.

“Saya bercuti sendirian untuk menghabiskan cuti tahunan. Tanpa disedari, rupanya saya cukup bertuah kerana berada di lokasi yang betul tepat pada masanya,” katanya.


KIM Swazervik

Simbolik merah dan putih

Kim menceritakan sehari sebelum Hari Baba Marta bermula, dia agak hairan melihat banyak aksesori, gelang, beg dan segala produk di kedai dijual dengan kebanyakan berwarna merah dan putih.

“Pada awalnya rasa agak pelik juga kerana sekarang bukan Krismas. Saya faham kalau Hari Natal sebab memang tema merah tapi ini segala barang dan kebanyakan aksesori yang dijual berwarna merah.

“Hendak dijadikan cerita, saya masuk ke satu kedai cenderahati dan bertanya. Penjualnya beritahu esoknya (1 Mac) adalah Hari Baba Marta yang ia antara hari dinanti-nantikan oleh semua penduduk Bulgaria.

“Saya difahamkan, sambutan ini adalah acara tahunan yang sudah berlangsung sejak berdekad lamanya. Sambutan pada setiap 1 Mac itu akan dimulakan dengan ucapan ‘Selamat Baba Marta’ kepada satu sama lain,” katanya.

Kim berkata, dia bertanya apa kaitan sambutan itu dengan warna merah dan putih. Penjual itu menjelaskan, ia adalah simbolik kepada waktu berakhirnya musim sejuk dan akan bermula musim bunga.

“Saya diberitahu warna merah melambangkan perempuan bermaksud kesihatan dan simbol kehidupan manakala putih untuk lelaki simbolik kepada kekuatan dan kemurnian,” katanya.


PERARAKAN Hari Baba Martha di Yambol, Bulgaria

Diberi martenitsi

Gelang dibuat daripada benang bulu adalah aksesori wajib ada pada hari ini. Kim berkata, dia diberi gelang yang dipanggil ‘martenitsi’ oleh penjaga kaunter di hostel tempat dia menginap.

“Saya diberi gelang yang diperbuat daripada dua benang warna merah dan putih. Ia simbolik kepada perhiasan yang dipercayai memberi kesihatan dan kekuatan sepanjang tahun.

“Martenitsi dipakai sepanjang Mac dan hanya akan dilucutkan apabila kelihatan hadirnya burung stork yang cuma tiba sekali dalam setahun. Selain burung, gelang akan dibuka apabila tumbuhnya daun pertama di pokok,” katanya.

Katanya, kita boleh nampak gelang ini di merata-rata tempat kerana ia turut diikat pada pokok buah, kenderaan, pintu pagar dan di mana saja sehingga tibanya putik daun pertama menandakan musim bunga.

Kim berkata, walaupun kelihatan ringkas dan biasa, ada cerita tersembunyi yang unik di sebalik acara budaya ini. Mungkin bagi orang lain ia ritual biasa, tetapi bagi Kim, dia cukup bertuah kerana berpeluang merasai sendiri sekali gus merasai kemeriahan Hari Baba Marta yang asli di bumi Bulgaria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 12:30 PM