FIZIE bersama koleksi cenderahati HRC kesayangannya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Peluang mengembara ke luar negara selalunya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mengunjungi tempat menarik selain melihat keindahan panorama di sesuatu kawasan.

Namun, lain kisahnya dengan Mohd Hafizi Mohamad Rihat atau lebih dikenali sebagai Fizie Rastar yang bukan hanya mahu berseronok, tetapi melunaskan misinya untuk menambah koleksi barangan dari kedai cenderahati Hard Rock Cafe (HRC).

Fizie berkata, hobi mengumpul koleksi barangan HRC itu bermula sejak 2010 dan berterusan hingga kini kerana minat serta kepuasan diri.

“Saya gemar melancong jadi seperti individu lain, cenderahati adalah kemestian untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

“Memandangkan saya peminat HRC, saya jadikan itu sebagai peluang untuk membeli pelbagai barangan dijual di sesuatu tempat yang dikunjungi jika mempunyai HRC.

“Antara cenderahati HRC wajib dibeli adalah pembuka botol kerana saya sukakan keunikan bentuknya yang berbeza mengikut negara dilawati,” katanya.


ANTARA koleksi cenderahati kepunyaan Fizie.

Fizie berkata, setakat ini dia sudah mengumpul lebih 2,000 cenderahati HRC terdiri daripada baju-T, pin, mug (kole) dan pembuka botol yang kini menjadi perhiasan dinding di ruang makan kediamannya.

Katanya, harga cenderahati itu bermula antara RM70 hingga mencecah ribuan ringgit dan sebahagiannya dibeli daripada pengumpul lain yang menjualnya di portal jual beli dalam talian.

“Ikutkan, harga barangan itu agak mahal lebih-lebih lagi jika membelinya di portal jual beli dalam talian seperti Ebay, namun disebabkan minat, saya ketepikan semua itu.


ANTARA koleksi cenderahati kepunyaan Fizie.

“Malah, saya sanggup memperuntukkan bajet dengan anggaran lebih RM1,000 hanya untuk membeli cenderahati di HRC setiap kali melancong di luar negara.

“Sementara itu, kira-kira RM2,500 dibelanjakan setiap bulan untuk membeli cenderahati berkenaan secara dalam talian. Ia seperti satu kemestian untuk pengumpul seperti saya walaupun bagi segelintir individu, ia adalah pembaziran kerana jumlah dibelanjakan itu bukan sedikit,” katanya yang turut mendapat jolokan Otai Hard Rock dan ‘King of Hard Rock’ dalam kalangan rakannya.


ANTARA koleksi cenderahati kepunyaan Fizie.

Menurut Fizie, buat masa ini, dia belum jemu mengumpul dan tidak pernah terfikir untuk menjual koleksi yang ada di dalam simpanannya walaupun pernah berbuat demikian sebelum ini.

Katanya, koleksi berkenaan sangat berharga dan bukan senang untuk mendapatkannya semula jika dijual kerana sebahagiannya adalah keluaran edisi terhad.

“Barangan HRC ini ada nilainya jadi tidak hairanlah jika ada yang menjualnya dengan harga lebih tinggi untuk mendapat keuntungan.


FIZIE bersama baju T HRC kesayangannya.

“Malah, saya sendiri pernah menjual sekotak pin kepada pengumpul dengan harga RM4,000, tetapi itu bukan sasaran kerana matlamat asal adalah menambah koleksi sedia ada.

“Pendek kata, sekali sudah terjebak, sampai bila-bila pun akan terus mengumpul kerana selain mendapat kepuasan, saya turut dapat menambah kenalan baru.

“Ini termasuk melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka yang terdiri daripada ahli Kelab Peminat HRC Malaysia,” katanya.


DI Hard Rock Cafe Osaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 5:43 AM