BERSAMA taman baru di Iran.
ED dan papan tanda lokasi yang diselit di begnya.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Sudah banyak cerita kembara beg galas yang Gen Y kongsikan di sini sama ada dari dalam atau luar negara.

Malah cara setiap orang mengembara juga pasti berbeza. Ada sukakan pelan teratur dan ada gemar bebas tanpa terikat dengan jadual tertentu.

Bagi Edel Tomas, 28, dia lebih sukakan kebebasan dalam mengembara. Bebas bukan hanya merujuk kepada apa yang mahu dilakukannya setiap hari, tapi juga cara dia bergerak ke satu lokasi dan lokasi lain.

Berpeluang menemu ramah Edel atau lebih mesra dipanggil Ed memberi gambaran baru kepada penulis berkenaan cara setiap pengembara beg galas itu melihat jalanan dan dunia.

Ed yang berasal dari Sepanyol memberitahu dia sudah meninggalkan negara sendiri hampir empat tahun dan belum puas untuk meneroka seluruh pelosok Eropah.

BUDAYA BIASA DI EROPAH

Apa yang menariknya dalam pengembaraan Ed adalah sepanjang berada di Eropah, dia tidak pernah ke satu-satu lokasi menaiki kenderaan awam.

Malah, dia lebih selesa ‚hitch hiking‘ iaitu menumpang kenderaan orang lain yang ingin ke destinasi sama tanpa sebarang bayaran.

“Mungkin kedengaran agak pelik untuk orang Asia kerana saya tahu ‚hitch hiking‘ bukan sesuatu yang biasa dan jauh sekali sebagai budaya di sana.

“Tapi kalau di Eropah, melihat pengembara di tepi jalan sambil memegang papan tanda lokasi itu perkara biasa. Malah perkara itu saya lakukan sejak empat tahun lalu hingga ada kawan menggelar saya ‚hitchiker‘ sejati,” katanya.

Ed berkata, bukan soal tidak mempunyai wang membuatkan dia memilih untuk ‚hitch hiking‘ tapi lebih kepada kepuasan dan kejutan yang dilalui sepanjang jalan.

“Pernah satu ketika dari Izmir ke Istanbul, Turki saya menumpang satu kereta dinaiki empat sekeluarga. Ternyata pemandunya (bapa) sekitar usia 50 tahun pernah ke Sepanyol.

“Jadi kami berbual panjang dan berkongsi banyak cerita.

“Tak habis di situ kerana sebaik sampai di Istanbul, saya diminta membatalkan hasrat menginap di hostel. Ini kerana saya dijemput menginap di rumah mereka. Kata mereka, cerita hidup saya menarik dan setiap malam kami berbual dan berkongsi kisah masing-masing yang akhirnya hubungan itu jadi seperti keluarga,” katanya.

PERNAH BERMALAM DI JALANAN

Katanya, kalau membabitkan lokasi sukar dan kesuntukan masa, dia tetap memilih kenderaan awam seperti bas dan kereta api.

“Memang benar, dalam kenderaan awam juga kita boleh jumpa orang menarik. Buat kenalan baru, tapi tak cukup mencabar bagi saya.

“Mungkin sebab sudah terbiasa, saya rasa bosan dengan apabila dapat duduk selesa dan tunggu hingga sampai ke destinasi. Justeru, saya kembali sebagai ‚hitchiker,” katanya.

Antara cabaran sebagai ‚hitchiker‘ menurut Ed, adalah tidak dapat menentukan berapa lama harus menunggu untuk sesebuah kenderaan berhenti untuk menumpangkan ‚hitchiker.‘

Pernah dia menunggu selama lebih lima jam di sebuah kota kecil di Selatan Croatia dan kerana tiada kenderaan berhenti membuatkan dia terpaksa bermalam di situ.

Malah pernah juga aplikasi di telefonnya membawa dia ke lokasi salah malah ada destinasi berakhir di stesen kereta api yang sudah tidak berpenghuni.

“Saya bekerja sebagai jurugambar sambilan. Hidup dengan menjual karya. Saya bebas untuk ke mana-mana dan mengabdikan apa saja situasi dan kenangan diinginkan kerana tidak terikat. terikat.

“Saya senang untuk meneroka dunia cara begini. Dari segi keselamatan pastilah saya utamakan, apatah lagi saya membawa peralatan kamera yang menjadi sumber rezeki. Saya bertuah kerana sepanjang empat tahun menjelajah seluruh Eropah, belum pernah berhadapan situasi genting,” katanya.

Kata Ed, untuk yang suka cara ekstrem, jangan takut mencuba. Kalau mahu, cubalah ajak berpasangan atau berteman. Selepas mencuba, anda boleh tahu sama ada ia sesuai untuk anda atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 3:49 PM