AQEESH bersama hadiah dimenanginya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Memiliki bakat dan kemampuan menguasai pentas memberi kelebihan kepada peserta termuda, Aqeesh Aleeya, 13, untuk muncul juara pada peringkat akhir rancangan realiti bakat dalam talian ‘Bakat Ohsem Malaysia’ (BOM) di Damansara Performing Arts Centre, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kemenangan itu melayakkan Aqeesh atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM100,000, sebuah Proton Saga 1.3 (A) dan trofi.

Peserta dari Selangor itu menewaskan tujuh peserta lain selepas mempamerkan persembahan nyanyian yang bertenaga menerusi lagu berjudul Birds Set Free pada pusingan pertama diikuti lagu Langit Cinta pada pusingan kedua.

Naib juara BOM pula dimenangi kumpulan tarian gaya bebas dan urban, Nasty Rock Crew terdiri daripada lima anak muda iaitu Muhammad Amirul Hakim Jeffriden, 19, Muhamad Alfi Rahim Hambali, 21, Muhammad Firdaus Nor Afandi, 15, Muhammad Shazmir Norazmi, 17, dan Muhammad Aniq Syafiq Jemain, 18 yang membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik peserta dari Kuala Lumpur, Yasmin Aziz, 16, yang membawa pulang wang tunai RM8,000 dan trofi.


LAPAN finalis yang bersaing pada pertandingan akhir BOM.

Pada pusingan pertama, Yasmin mempersembahkan lagu Ulek Mayang diikuti Only Love Can Hurt Like This pada pusingan berikutnya.

Pertandingan akhir BOM dihoskan personaliti radio Haniff Hamzah dan diadili Aizat Amdan, Sherry Al Hadad serta pelawak dan penyampai radio Nabil Ahmad sebagai juri jemputan.

Peserta dinilai berdasarkan empat kriteria iaitu kreativiti, bakat, impak persembahan dan persembahan pentas yang merangkumi 50 peratus.

Lima puluh peratus lagi adalah daripada orang ramai yang membuat undian bermula 20 hingga 23 Disember tahun lalu menerusi laman web hurr.tv.

Pencarian BOM berlangsung selama dua bulan bermula pertengahan September hingga November apabila penganjur, hurr.tv menerima ratusan video yang mempamerkan pelbagai bakat antaranya nyanyian, tarian, silap mata dan persembahan kreatif sepanjang tempoh berkenaan.

Bagi memilih yang terbaik, peserta perlu melalui proses saringan awal oleh pihak juri, ‘wildcard’ dan peringkat separuh akhir.

Hanya lapan video yang mendapat undian tertinggi daripada orang ramai dan markah memuaskan pihak juri layak memasuki peringkat akhir.


AQEESH (tengah) bersama naib juara kumpulan Nasty Rock Crew dan pemenang tempat ketiga, Yasmin Aziz (tiga dari kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 8:55 AM