Hazril Md Nor

hmetro.com.my

Peminat yang dahagakan kembara Noctis kini boleh menikmati sekali lagi pengalaman hebat itu di peranti pintar dengan memuat turun Final Fantasy XV Pocket Edition untuk Android dan iOS dengan harga sekitar RM80.

Sesuai dengan namanya, Pocket Edition ini tidak begitu rumit untuk difahami apatah lagi dipelajari. Bagi penulis, jika anda belum mencuba Final Fantasy XV di konsol, judul ini mungkin sesuai untuk anda.

Ini kerana ia dioptimumkan untuk peranti pintar dan menyediakan plot dan sesi permainan yang ringkas, padat dan tidak komprehensif. Bayangkan saja tugasan yang terkira dalam versi konsol, semuanya menjadi mudah untuk Pocket Edition ini.

Ia bersifat ‘straightforward’ dan membawa pemain ke plot seterusnya tanpa terlalu banyak tugasan sampingan yang mengganggu matlamat utama. Contohnya, sebaik saja selesai berjumpa Cindy, pemain terus ditugaskan menghapuskan raksasa dan mencari pemburu yang sesat.

Walaupun Pocket menggambarkan karakter lebih ‘comel,’ ia tak sesekali memaparkan versi Final Fantasy XV yang kurang menawan. Boleh dikatakan grafiknya sangat cantik dan sokongan 60 FPS membuatkan permainan ini sedia dimainkan dengan lancar di peranti ‘flagship’.

Sistem perlawanannya juga tak mengecewakan dan ia mesra pengguna berbanding konsol. Apabila kumpulan yang dianggotai Noctis, Prompto, Gladiolus dan Ignis itu mula berlawan, pemain akan mengawal putera raja itu.

Fungsi serangan automatik disertakan dengan kebolehan untuk ‘parry’ dan mengelak serangan dengan menekan butang tertera di skrin apabila ia muncul. Terdapat juga kuasa istimewa yang boleh digunakan apabila pemain menaik taraf kemahiran karakter.

Paling menarik ialah kebolehan untuk ‘warping’ yang menyaksikan Noctis melompat dari satu musuh ke yang lainnya dengan semudah menekan ke skrin.

Kedudukan kamera yang isometrik menampakkan aksi perlawanan lagi mencabar dan membolehkan pemain mengagak serangan musuh dan memberikan ‘posyen’ nyawa kepada ahli yang lain. Boleh dikatakan pemain dapat mengawal perlawanan dengan mudah kerana mampu melihat dari sudut tepat.

Perlawanan antara ketua besar diatur dengan begitu sempurna melalui sistem ‘quick time event’ yang memerlukan pemain menekan beberapa butang dalam masa diberikan. Dari sudut lain, Ignis juga belum bersedia berhenti memasak sebaliknya mendapat idea masakan dari kawasan tertentu dan pemain perlu mencari bahan masakan yang kedua untuk menyiapkan resipi.

Pemain juga berupaya mencari harta karun di kawasan rehat berpandukan peta yang diberikan. Selain itu, terdapat arca tersembunyi yang perlu dicari di sekeliling bandar untuk mendapatkan pengalaman lebih bagi skuad pemain.

Secara keseluruhannya, Final Fantasy XV Pocket Edition membawakan permainan dari konsol itu ke peranti pintar tanpa menghilangkan identiti dan auranya. Ia adalah permainan mudah alih yang setia kepada versi asal.

Pada masa sama turut sesuai bagi yang ingin tahu berkenaan Noctis dan kawan-kawannya namun kekurangan masa duduk di depan televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 8:47 AM