IMEJ rambut keriting Mansyawa menjadikannya lebih mudah dikenali di laman sosial.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Populariti di laman sosial secara tidak langsung membuka jalan kepada individu bergelar ‘Instafamous’ menambah pendapatan, Namun ‘viner’ (mereka yang aktif menyiarkan video di media sosial), Mansyawa Al-Khudri Abdul Latif, 24, lebih selesa menggunakan pengaruhnya untuk mendekati remaja menerusi perkongsian video parodi yang sarat pengajaran.

Baginya, kaedah itu lebih berkesan untuk menyampaikan sesuatu mesej termasuk nasihat berbanding menyuarakannya secara berdepan kerana tidak semua boleh menerimanya.

Mansyawa berkata, bagi menyesuaikan dengan golongan muda, dia menyelitkan unsur jenaka supaya video berkenaan lebih menarik dan tidak terlalu serius, tetapi masih boleh sampai maksudnya.

Katanya, selain berkongsi input bermanfaat menerusi tutorial dan sebagainya, video berkenaan juga dihasilkan sebagai antara cara untuk mempamerkan kreativiti dalam bidang videografi.

“Sejak di bangku sekolah saya meminati bidang fotografi dan penghasilan video. Minat itu bertambah serius selepas bertemu rakan yang turut mempunyai minat sama, malah terbabit dengan perjumpaan bersama jurugambar.

“Dari situ, kami mula menjelajah ke beberapa tempat dalam dan luar negara bagi mendapatkan foto menarik. Namun, keinginan mencuba sesuatu yang baru menyebabkan saya beralih kepada penghasilan video parodi berunsur jenaka.

“Saya tidak menghasilkan video parodi berkisar isu yang sedang tular, tetapi lebih suka melakonkan watak memberi pengajaran dan lebih dekat dengan remaja,” katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Universiti Selangor (UNISEL).


MANSYAWA menjadikan Instagram sebagai platform berkongsi video mempunyai mesej dan pengajaran.

Katanya, selain menerima maklum balas positif daripada pengikut, peluang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam menghasilkan video mengenai penipuan telefon bimbit antara pengalaman tidak dapat dilupakan sejak aktif sebagai ‘viner’.

Ini kerana bukan semua orang berpeluang mendapat tawaran bekerjasama dengan pihak kementerian dan dia berharap ada lagi tawaran serupa pada masa akan datang.

“Kalau hendak diikutkan, banyak perancangan yang sudah diatur, malah saya sudah menghasilkan beberapa skrip untuk filem pendek dan teater namun fokus serta keutamaan ketika ini adalah pelajaran yang sudah di tahun akhir.

“Selepas tamat pengajian nanti, barulah saya akan melaksanakan apa dirancang dengan kerjasama teman rapat yang mahir dalam pembuatan video.

“Itu antara perancangan masa hadapan dan jika ada rezeki, saya mahu merealisasikan impian membuka syarikat produksi sendiri,” katanya yang kini mempunyai lebih 17,000 pengikut di Instagram.

Di samping aktif menghasilkan video, Mansyawa berkata, dia turut menerima tawaran lain, antaranya menceburi peragaan. Katanya, tawaran itu mungkin tiba berikutan imej rambut panjang dan keriting yang menjadi identiti barunya.

“Saya sengaja tampil dengan imej begini kerana mahu lebih senang dikenali pengikut. Namun, tidak semua orang suka kerana ada juga yang menganggap ia tidak sesuai dengan bidang dipelajari.

“Bagaimanapun, itu pandangan mereka. Di sebalik kritikan itu, ada juga peluang yang datang dan salah satunya adalah peragaan.

“Cuma, buat masa ini, saya belum terfikir untuk mengambil tawaran membuat ulasan produk di laman sosial kerana tujuan berkongsi video adalah kerana minat dan bukan mengaut keuntungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 1:45 AM