YASSEMIN dalam persiapan ke kem pelarian.
PROTES menentang kebuluran ketika di universiti.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my

Tidak ramai antara kita mendapat peluang keemasan untuk bekerja di posisi yang diimpikan. Berbeza bagi gadis kelahiran Ankara, Turki ini, perjalanan kerjayanya bermula ketika dia diterima masuk sebagai pelatih latihan industri di organisasi ternama yang memperjuangkan hak asasi manusia di Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Yassemin Sakri, 24, pelajar jurusan psikologi di universiti tempatan di Turki ini berkata, sehingga ke hari ini dia seperti tidak percaya ‘bertuah’ menjadi kakitangan UNHCR Turki.

“Semua orang tahu, untuk dapat tempat sebagai kakitangan di UNHCR bukan mudah. Kalau untuk sukarelawan memang banyak kerana itu cuma penyertaan sekali dalam satu-satu projek.

“Sebab itu, sejak hari pertama kerja hingga ke hari ini, boleh dikatakan saya datang bekerja dengan senang hati tanpa ada sedikit pun rasa tertekan,” katanya.

BERMULA SEBAGAI PELATIH LATIHAN INDUSTRI

Yassemin berkata, dia mula diterima di organisasi itu dengan status mahasiswa latihan industri diletakkan sebagai pembantu di bahagian perancangan projek pada Mac tahun lalu.

Selepas lima bulan melengkapkan tugasan, dia beruntung apabila hasil kerjanya selama tempoh itu diterima baik sehingga diberi tawaran bekerja.

“Hanya Tuhan saja tahu betapa gembiranya saya waktu itu. Habis saya canangkan kepada keluarga dan rakan. Tak sangka saya diterima dan pada masa sama lebih banyak hal yang saya boleh belajar di situ,” katanya.

Menurut Yassemin, UNHCR bukan hanya organisasi yang memfokuskan kepada hal kemanusiaan tetapi banyak isu dunia lain turut menjadi keutamaan termasuk krisis peperangan.

Bekerja di organisasi dunia seperti UNHCR cukup membuka matanya terhadap isu dan masalah yang berlaku di seluruh dunia sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus membantu kelompok memerlukan.

TURUN PADANG

“Disebabkan saya bekerja di UNHCR Turki, banyak projek kami memfokuskan apa yang berlaku di negara sendiri. Namun, ada juga projek luar yang memerlukan kerjasama daripada kami.

“Walaupun bekerja dalam pejabat, saya juga menyertai projek di luar seperti berkunjung ke kem pelarian, memberi bantuan makanan dan ubat-ubatan. Ada juga saya ke lokasi tempat sukarelawan kami mengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak miskin dan anak mangsa pelarian.

“Melihat situasi ini buatkan saya lebih bersyukur dengan kehidupan yang ada. Pada masa sama, ia semakin membakar semangat untuk lakukan lebih baik kerana sedar kerja saya setiap hari memberi kesan kepada mereka ini (golongan memerlukan),” katanya.

Ditanya bagaimana suasana kerja di UNHCR, Yassemin berkata, konsep santai namun profesional diterapkan di tempat kerja.

“Di sini tak terlalu formal kerana kebanyakannya ‘kepala gila’. Jadi lebih santai dan relaks, tapi sekiranya ada satu hal yang memerlukan pandangan ramai, mereka boleh jadi individu berbeza dengan lontaran idea yang hebat. Itu yang saya kagum. Mungkin juga sebab sudah banyak pengalaman,” katanya.

Katanya, tidak banyak perbezaan skop kerja berbanding ketika dia menjalani latihan amal dulu kerana dia diberi jawatan yang sama.

“Sebagai mahasiswa jurusan psikologi, awalnya saya agak ragu-ragu kerana jawatan pembantu di bahagian perancangan agak ‘tidak kena’ dengan bidang saya. Namun, selepas tamat latihan, saya yakin belajar sesuatu yang baru adalah perkara patut kita lakukan. Cuma perlu berani dan yakin diri,” katanya.

Kini, hampir satu tahun Yassemin di UNHCR, namun semangat dan keterujaannya masih sama.

Katanya, selagi masih ada golongan memerlukan, dia akan terus berada di situ untuk memberikan yang terbaik buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 2:23 PM