SUASANA ketika MCTF’18 di MVEC.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Mencari pekerjaan yang menepati kehendak ada kalanya sukar walaupun mempunyai kelayakan atau pengalaman luas dalam bidang tertentu.

Menyedari hal itu, syarikat pemasaran pekerjaan, JobStreet.com komited membantu mereka yang mencari pekerjaan termasuk siswazah menerusi penganjuran Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia (MCTF’18) di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) pada 10 dan 11 Februari lalu.

Pengurus Negara JobStreet.com Malaysia Chook Yuh Yng berkata, program itu dianjurkan dengan kerjasama AIC Exhibitions dan menghimpunkan lebih 130 majikan di bawah satu bumbung.

“Perniagaan usahawan tempatan semakin berkembang disokong dengan kemasukan syarikat luar dan yang secara tidak langsung menawarkan pekerjaan dan keperluan tenaga mahir.

“Ini satu perkembangan yang positif terutama untuk mereka yang masih mencari-cari peluang pekerjaan dan seiring dengan itu, kami teruskan usaha dengan meneruskan penganjuran program ini.

“Diharap ia menjadi platform untuk mempertemukan majikan dan pencari kerja pelbagai peringkat umur tidak kira siswazah mahupun golongan profesional,” katanya.

Pengunjung, Muhammad Izzat Mohd Salleh, 29, dari Bangi berkata, kehadirannya ke MCTF’18 adalah untuk mencari peluang baru dalam kerjaya walaupun sudah enam tahun bekerja di sebuah syarikat.

“Ikutkan, ada cara lebih mudah untuk memohon pekerjaan iaitu dengan menghantar resume secara dalam talian tetapi saya memilih hadir ke sini kerana mahu melihat sendiri peluang ditawarkan .

“Daripada situ kita dapat berinteraksi dengan majikan dan mengetahui lebih lanjut mengenai kelebihan dan faedah ditawarkan sesebuah syarikat,” katanya.

Lulusan Sains Pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Siti Aziah Abdul Rahim, 23, berkata, MCTF’18 adalah platform baik untuknya mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian pada Januari lalu.

Jadi, penting untuk merebut peluang keemasan itu kerana rugi jika disia-siakan begitu saja.

“Berbanding memohon secara dalam talian, lebih baik datang terus ke sini kerana boleh terus menjalani sesi temu duga dengan majikan.

“Selain itu, saya juga dapat mengetahui latar belakang syarikat kerana selain gaji dan faedah, saya turut mengambil kira reputasi syarikat kerana ia akan menentukan jangka hayat kita dalam sesuatu pekerjaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:45 AM