KOLEKSI cenderahati mini yang dihasilkan.
KOLEKSI cenderahati mini yang dihasilkan.
ANTARA hasil kerja tangan Atthirah.
ATTHIRAH tekun ketika menghasilkan cenderahati mini.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Rasa kekurangan apabila tidak bermain dengan tanah liat. Begitulah yang dirasakan pencinta seni kraf tangan, Atthirah Mohd Jazmin, 21, sejak mempunyai kemahiran menghasilkan cenderahati mini (miniatur) tahun lalu.

Anak keenam daripada sembilan beradik ini berkata, hobi berkenaan seakan-akan sebati dengan diri malah kini menjadi sumber pendapatan baginya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Meskipun tiada pengetahuan asas dalam menghasilkan cenderahati, Atthirah nekad belajar sendiri dengan menjadikan Internet dan video di YouTube sebagai sumber rujukan.

“Pada mulanya, saya sekadar menghasilkan cenderahati itu untuk suka-suka kerana minat dan setiap kali siap, saya akan memuat naik gambar hasil kerja di lnstagram.

“Tidak sangka pula, ramai yang berminat untuk membeli dan bagi memenuhi permintaan mereka, saya ambil tempahan mengikut kuantiti dan bentuk cenderahati diinginkan.

“Alhamdulillah, sambutan amat baik dan setakat ini, majoritinya berpuas hati dengan hasil kerja saya dan kepercayaan pelanggan membolehkan saya bertahan sehingga kini,” katanya.

Menurut Atthirah, setiap cenderahati mengambil masa antara 15 minit hingga empat jam untuk dihasilkan bergantung kepada tahap kesukarannya.

Atthirah berkata, kebiasaannya, cenderahati berbentuk makanan dan figura karakter kartun mengambil masa lama kerana memerlukan ketelitian yang tinggi dalam menghasilkannya.

“Kebiasaannya, saya akan menghasilkan cenderahati berkenaan mengikut permintaan pelanggan yang selalunya membuat tempahan untuk dihadiahkan kepada insan tersayang.

“Untuk kepuasan mereka, saya pelbagaikan jenis cenderahati yang dihasilkan antaranya dalam bentuk magnet hiasan dan rantai kunci.

“Tiada had ditetapkan tetapi masa lebih lama diambil jika mereka menempah dalam kuantiti banyak dan setakat ini, majoritinya memberi maklum balas positif ,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju, gadis berasal dari Kajang ini berkata, dia tidak mahu kemahiran dimilikinya itu sekadar menjadi sumber pendapatan tetapi bercadang mengadakan bengkel untuk berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat.

Katanya, perkongsian ilmu menerusi penganjuran bengkel berkenaan diharap melahirkan lebih ramai pencinta kraf tangan yang mahir.

“Ikutkan, saya bercita-cita membuka studio kraf tangan satu hari nanti namun itu hanya perancangan awal kerana fokus ketika ini membuka bengkel kemahiran.

“Diharap bengkel itu mendapat sambutan kerana dengannya, saya dapat berkongsi ilmu selain menjadikannya sebagai satu peluang untuk menambah pendapatan.

“Berdasarkan pengalaman, kemahiran ini mengambil masa untuk dipelajari tetapi tidak mustahil untuk mahir jika rajin berlatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 4:44 AM