MONSTER Hunter World ajak pemain baru teroka dunia raksasa, cipta kelengkapan lebih berkuasa.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Kalau dulu, dinosaur menjadi ancaman kepada manusia purba tapi kali ini, giliran kita berganding bahu memburu binatang legenda ini. Pernah terfikir konsep permainan video sebegitu? Selamat datang ke Monster Hunter World!

‘Game’ terbaru daripada Capcom ini boleh dikatakan amat sesuai dimainkan sesiapa saja termasuk pemain veteran dan pendatang baru. Ia penuh kelainan, cabaran dan ciri baru yang hampir sempurna.

SISTEM YANG KOMPLEKS

Peminat Dark Souls, Nioh dan lain-lain akan merasai detik kedatangan kembali. Ini kerana Monster Hunter adalah permainan yang tertumpu kepada ‘stats’. Setiap senjata, barangan, cebisan baju perisai, serangan dan kuasa mempunyai tahap kekuatan, contohnya seperti ‘game’ Diablo.

Untuk memudahkan kembara anda meneroka dunia baru ini sebagai pemburu Fifth Fleet, disarankan anda mempelajari dengan lebih mendalam mengenai ‘stats’ ini bagi memahami setiap raksasa yang berkelakuan lain daripada yang lain.

Permainan video ini juga menjadikan anda seorang penganalisis yang baik kerana terdapat banyak perkara boleh dipelajari. Bagaimanapun, percaya atau tidak, sistem kompleks ini akan datang kemudian. Anda akan ditempatkan dalam mod bebas untuk memburu dan menghayati keindahan flora dan fauna bagi beberapa jam pertama dalam permainan.

BELAJAR SAMBIL MENEROKA

Pembukaan Monster Hunter membawa anda kepada tutorial yang terperinci khususnya mengenai mekanik permainan dan kawasan hab. Boleh dikatakan tutorial ini lebih mudah difahami jika anda lakukannya sendiri contohnya seperti mengetahui bagaimana ‘posyen’ berfungsi.

Bagi pendatang baru, mungkin anda kurang faham mengenai perisai yang mempunyai ketahanan terhadap elemen tertentu atau kekuatan senjata. Seiring dengan masa, anda akan faham sendiri apabila berdepan raksasa yang lebih kuat, memaksa karakter anda menjadi lebih lincah dan langkah strategik perlu diatur sebelum memburu.

Setiap dunia baru diteroka ternyata berlainan landskap dan semestinya memukau mata sesiapa saja. Daripada flora yang mendiami kawasan Ancient Forest sehinggalah padang pasir Wildspire memberikan visual cukup mengagumkan bagi permainan video dengan konsep begini.

KUMPUL BAHAN, CIPTA KELENGKAPAN BARU

Bagaimanapun, dari segi permainannya, ia agak berulang. Anda akan mengumpul herba, mencari ‘item’ di bawah timbunan tulang dan juga mengikut jejak Scout Flies sementara mereka memburu raksasa. Tapi memandangkan ganjarannya begitu lumayan, ia tidaklah begitu bosan.

Setiap perlawanan bersama raksasa ada kelainan kerana jenis mereka. Ekosistem dalam permainan ini begitu meluas dan anda tidak dapat menjangka apa yang akan berada di hadapan sekali gus mencipta elemen kejutan yang menarik dan tersendiri.

Tidak seperti permainan lain Role Playing Game (RPG) lain, tahap kekuatan (rank) dan ‘levelling’ tidak terikat pada karakter sebaliknya ditentukan apabila anda menewaskan lebih banyak raksasa dan mengumpul bangkainya. Ini membolehkan anda mencipta senjata lebih kuat dan perisai yang mempunyai ketahanan terhadap raksasa lebih kuat.

SOKONG FUNGSI ‘MULTIPLAYER’

Akan ada situasi anda berdepan raksasa begitu kuat dan sukar dikalahkan tapi jangan risau. Pergi ke tempat sebelumnya, kumpulkan bahan dan cipta senjata lebih kuat untuk menumpaskannya.

Jika langkah ini gagal, anda sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan tiga pemain lain untuk memburu raksasa lebih kuat. Komuniti dalam permainan ini sangatlah dipuji kerana kebanyakan pemain sedia bekerjasama.

Anda boleh menghantar undangan kepada tiga pemain tapi perlu ingat, ia bergantung kepada ‘quest master’. Jika anda tidak terperinci mengenai hal ini, pemain lain mungkin sedang sibuk menyiapkan kerja lain dan mereka tidak tahu status misi anda. Penulis sarankan komunikasi menggunakan fon kepala untuk keselesaan bersama.

Secara keseluruhannya, Monster Hunter World mengajak anda memburu dinosaur dalam dunia flora dan fauna begitu luas sambil ditemani kebebasan meneroka keindahan setiap dunia dan menikmati pelbagai jenis kelengkapan dengan ciri tersendiri. Permainan video ini boleh dimainkan di Xbox One, PlayStation 4 dan PC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 3:19 AM