GADIS muda ini menanam impian menghasilkan barangan kulit dengan jenamanya sendiri.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Pandangan sinis dan keraguan orang sekeliling tidak sedikit pun mematahkan semangat gadis muda ini.

Menurut Masyitah Umairah Mohd Sopian, 14, bukan sekali dua orang meragui keupayaannya menghasilkan barangan kulit dan kebanyakan beranggapan ia hasil kerja tangan bapanya.

Namun Masyitah tidak peduli dengan anggapan orang kerana fokus utamanya adalah menghasilkan kerja seni yang bukan saja menarik dan kemas tapi berkualiti bagi memenuhi kepuasan sendiri.

“Memang ramai yang tidak percaya dan mereka bertanya berulang kali apakah saya benar-benar menghasilkan produk itu sendiri kerana masih muda. Ada juga yang kata setiap produk yang saya hasilkan sebenarnya hasil tangan ayah.

“Tapi jawapan saya ringkas, memang saya hasilkan sendiri dan jika tidak percaya boleh datang dan lihat sendiri.

“Mungkin mereka tidak percaya kerana usia saya yang masih muda tambahan lagi setiap barangan adalah buatan tangan jadi ramai yang meragui kemampuan saya,” katanya ketika ditemui di bengkel bapanya di Taman Sendayan Indah, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.

Berkesempatan menemu bual dan melihat Masyitah menghasilkan kerja kulit buatan tangan di bengkel berkenaan, terpancar kesungguhan gadis kecil molek dan sopan ini.


GADIS muda ini menanam impian menghasilkan barangan kulit dengan jenamanya sendiri.

Siapa sangka tangan yang halus dan lembut itu sebenarnya pakar mengukur kulit, memotong, menebuk dan mengikat benang, malah mampu menghasilkan produk kulit yang kemas menggunakan tangan.

Jika sebelum ini dia banyak membantu bapanya menyiapkan produk kulit di rumah, kini dengan pembukaan bengkel baru itu Masyitah perlu berada di bengkel bukan saja menghasilkan barangan tapi melayan pengunjung yang ingin melihat dan menempah produk secara terus.

Bagi Masyitah, dia tidak pernah bosan dan penat berada di bengkel kerana setiap kerja yang memerlukan ketelitian khususnya menebuk dan menjahit memberi kepuasan kepada dirinya.

“Semua kerja di bengkel menggunakan tangan kerana barangan kulit jahitan tangan lebih kemas dan teliti. Jadi, untuk dapatkan hasil yang terbaik memang mengambil lebih masa tidak seperti menggunakan mesin. Namun, setiap kali melihat produk akhir saya berasa puas,” katanya.

Menurutnya, dia rasa bertuah dan bersyukur didedahkan dengan kemahiran dan teknik menghasilkan barangan kulit buatan tangan kerana ia ilmu yang berharga.

“Ada juga yang pelik kenapa saya suka buat barangan kulit termasuk untuk projek sekolah. Ayah tidak pernah paksa, saya memang berminat dan mahu belajar kerana tidak ramai orang mempunyai kemahiran dalam bidang ini.

“Saya belajar menghasilkan barangan kulit buatan tangan daripada asas iaitu pembuatan acuan. Jadi, rugilah kalau saya tidak ambil peluang ini.

“Saya bukan saja mahu mewarisi teknik istimewa yang diturunkan datuk kepada ayah dan ayah turunkan kepada saya malah ada impian yang lebih besar iaitu membina jenama sendiri pada masa hadapan,” katanya.


MASYITAH turut menggemari bidang fesyen nekad menyambung legasi bapanya.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan ini berkata, dia perlu bijak mengatur masa bagi memastikan pembelajarannya tidak terabai.

“Setiap hari saya akan bantu ayah di bengkel. Jadi setiap hari rutin saya adalah pergi ke sekolah dan selepas pulang akan siapkan kerja rumah dan ulang kaji.

“Pada waktu petang barulah saya ke bengkel. Biasanya setiap hari saya akan peruntukkan sekitar tiga hingga empat jam di bengkel,” katanya.

Turut meminati bidang fesyen, Masyitah menanam impian untuk memperkenalkan barangan kulit buatan tangan jenamanya sendiri pada masa akan datang selain ingin mengembangkan perniagaan bapanya yang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 12:59 PM