MENGHADIRI acara pameran foto di Sofia, Bulgaria.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Bagi remaja, hobi ada kalanya sukar untuk dijadikan kerjaya kerana pulangan wang tidak konsisten seperti kerja makan gaji.

Namun bagi gadis kelahiran Sofia, Bulgaria, Pavilin Zahrova, 28, dia menganggap itu cabaran yang harus ditempuhi untuk menempa nama dalam bidang yang disukai.

Bermula sejak usia 22 tahun, Pavilin atau lebih selesa dipanggil Pavi mula bekerja sebagai jurugambar sambilan ketika masih belajar di universiti.

“Saya mula dengan mengambil upah daripada rakan untuk mengambil gambar produk, bantu mereka siapkan kerja kuliah, jurugambar acara dan sebagainya.

“Sejak itu saya sudah ada pelanggan sendiri dalam industri dan mula dipanggil untuk acara lebih eksklusif termasuklah sebagai jurugambar majlis peribadi. Namun kini saya lebih fokus kepada karya dan acara berkaitan seni,” katanya.


ANTARA koleksi gambar kegemarannya.

Fokus konsep subjektif dan abstrak

Enam tahun berkecimpung dalam bidang fotografi sedikit sebanyak membantu Pavi untuk belajar selok-belok industri ini dan persaingan yang ada.

“Semakin hari, semakin ramai jurugambar yang wujud. Tidak keterlaluan dikatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Saya anggap ini sebagai persaingan sihat dan buatkan saya untuk belajar lebih lagi dan cari identiti sendiri.

“Selepas beberapa tahun, saya mula faham apa kelebihan saya dalam fotografi dan membentuk identiti sendiri. Kini saya lebih fokus kepada gambar subjektif dan rawak. Foto haiwan, rutin harian masyarakat khususnya di Bulgaria, hubungan manusia dan alam serta pemandangan sekitar berkonsep abstrak menarik minat saya.

“Masih banyak budaya dan sisi tersembunyi Bulgaria yang orang luar tidak tahu. Antara impian saya untuk bukukan koleksi gambar unik yang berkaitan sejarah Bulgaria dan seni lain berkaitan dan dipasarkan di luar negara,” katanya.


FOTOSHOOT 'flatlay'

Status sambilan bagi kebebasan

“Ramai jurugambar sambilan yang saya temui berjaya mencipta nama di tanah air sendiri mahupun di luar negara. Bukan untuk cipta nama saja, tapi saya selesa dengan status jurugambar sambilan.

“Antara sebab utama kerana tidak terikat dan kemahuan saya tidak dihalang terutama dalam hal fotografi. Saya bebas untuk merakam apa saja tanpa arahan orang lain. Lebih ringkas, kreativiti yang bebas mampu membuatkan seorang jurugambar lebih banyak belajar, meneroka dan kaji hasilnya dalam konteks fotografi,” katanya.

Pavi berkata, tip untuk meluaskan hubungan dengan pasaran adalah untuk bijak memilih dan berkomunikasi.

Katanya, ada ketika dia menerima permintaan penganjur untuk menjadi jurugambar rasmi acara walaupun konsep diketengahkan tidak sama dengan apa yang dia minati.

“Pun begitu, tetap ada perbincangan sebelum saya terima kerana harus dijelaskan bahawa saya mempunyai sudut gambar dengan gaya sendiri. Ia untuk mengelakkan salah faham dan meminta mereka untuk memberi kebebasan saya bereksperimentasi dengan suasana acara,” katanya.


PAVI (dua dari kanan), ketika bercuti bersama keluarga di Plovdiv, Bulgaria.

Pavi berkongsi pandangan dengan berkata, industri fotografi di Bulgaria agak rancak kebelakangan ini selain muncul komuniti baru yang obses dengan kamera lama menggunakan filem.

“Walaupun secara teknikal kedua-duanya berbeza tapi ada ketikanya kami akan berkumpul untuk berkongsi idea baru.

“Saranan saya, jangan cepat berpuas hati dengan hasil kerja sendiri. Sebaiknya, tanya orang lebih pakar di samping rajin untuk keluar meneroka hal baru. Dari situ, kita boleh bezakan pencapaian kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 1:45 PM