Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Tidak dinafikan, perkahwinan pada usia muda sudah menjadi perkara biasa sejak beberapa tahun lalu. Perkara ini sedikit sebanyak memberi ‘tekanan’ kepada remaja yang masih belum bertemu jodoh atau mengalami masalah kewangan.

Faktor paling utama sudah tentulah masalah kewangan. Tambahan pula, perempuan zaman sekarang masing-masing berlumba-lumba untuk meletakkan wang hantaran tinggi dan menganjurkan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang.

Sudah tentulah lelaki yang menjadi ‘mangsa’ untuk memenuhi kehendak perempuan.

Namun, jangan bimbang kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.

Gen Y kongsikan beberapa tip menyimpan wang hantaran dan belanja perkahwinan anda.

1. Tabung kahwin

Selain tabung melancong, tabung kahwin juga amat penting untuk perancangan masa depan anda. Sekiranya anda mampu menabung RM500 sebulan untuk melancong, anda juga pasti boleh lakukan perkara yang sama untuk penuhkan tabung kahwin.

Lebih baik anda lupakan seketika perancangan melancong dan fokus kepada misi mendirikan rumah tangga. Selepas berkahwin nanti boleh rancang percutian bersama pasangan anda pula.

Selain itu, anda boleh mengumpul wang bersama pasangan. Cara ini lebih baik kerana anda pasti lebih bersemangat untuk mengumpul wang yang diperlukan. Terlalu ramai yang menyesal tidak membuat tabung kahwin sejak awal lagi. Jadi anda jangan ulangi kesilapan mereka dan bertindak sekarang!

2. Pembiayaan peribadi

Katakan ‘tidak’ pada pembiayaan peribadi! Segelintir anak muda sanggup memohon pembiayaan peribadi semata-mata untuk mendirikan rumah tangga. Mereka menganggap urusan perkahwinan lebih mudah tanpa menyedari risiko yang bakal ditanggung.

Kebanyakan anak muda terperangkap dengan pembiayaan peribadi untuk tempoh yang agak panjang. Ini kerana mereka hanya mampu membayar ansuran bulanan dalam jumlah yang kecil dan perjanjian kontrak diikat dalam tempoh 10 tahun.

Akibatnya, selepas berumah tangga bukan saja terpaksa menanggung hutang pembiayaan peribadi, malah anak, kereta, motosikal, rumah, perbelanjaan dapur dan banyak lagi.

Anda disarankan untuk mengelak daripada memohon pembiayaan peribadi dan menyimpan duit secara bulanan walaupun mengambil masa lebih setahun.

Lebih penting, selepas berkahwin, anda tidak terikat dengan hutang pembiayaan peribadi dan boleh fokus untuk komitmen lain seperti membeli rumah dan tanah.

3. Jangan terlebih bajet

Orang selalu kata kahwin sekali seumur hidup. Sebaris ayat ini menyebabkan anda berada dalam dilema sama ada untuk membuat majlis secara sederhana atau besar-besaran.

Sikap terlalu menunjuk dan mengikut trend semasa menyebabkan anda hilang kewarasan dalam soal menguruskan kewangan mengikut kemampuan. Hal ini sering berlaku menyebabkan ramai pasangan muda terpaksa menebalkan muka berhutang dengan pemilik kanopi atau pelamin selepas majlis perkahwinan selesai.

Seelok-eloknya, buat majlis mengikut kemampuan bajet anda dan senaraikan barang yang penting untuk dibeli bagi mengelakkan pembaziran. Lagi bagus, anda gabungkan dua majlis menjadi satu. Jimat wang!

3. Kerja lebih masa

Bukan semua anak muda bernasib baik berjawatan dan bergaji tinggi. Jika anda bergaji rendah, memang rasa perit untuk menyimpan sedikit wang setiap bulan.

Namun jangan jadikan alasan itu sebagai penghalang untuk mendirikan rumah tangga. Anda boleh melakukan kerja lebih masa seperti memandu Uber atau Grab.

Rata-rata remaja masa kini memilih platform ini untuk menjana wang lebih banyak dan dijadikan duit poket. Bukan saja lelaki, malah perempuan juga tidak melepaskan peluang untuk memandu Uber atau Grab.

Daripada perkongsian rakan penulis, hasilnya memang lumayan dan masa sangat fleksibel. Sekurang-kurang duit gaji tidak terusik dan lebih mempercepatkan perancangan anda untuk berkahwin.

4. Bonus

Selain gaji, wang bonus yang diperoleh setiap tahun boleh digunakan untuk menambah wang simpanan perbelanjaan kahwin.

Secara asasnya, jumlah bonus boleh mencecah hingga enam bulan gaji namun bergantung kepada prestasi kerja anda. Inilah masanya anda simpan semua wang bonus anda dan jangan usik walaupun sedikit.

Lupakan hasrat untuk mengubah suai kereta atau membeli barangan berjenama kegemaran anda untuk sementara waktu. Jika niat anda memang betul, pasti perancangan lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 1:19 AM