ARIFF dan Faris mahu terus mencipta nama dalam bidang masing-masing.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Jika Muhammad Ariff Abd Karim, 26, aktif di arena bola sepak gaya bebas, adiknya, Faris Azim, 20, pula lincah di lantai tari namun kedua-duanya berkongsi matlamat sama iaitu mencipta nama di lapangan masing-masing.

Dua beradik ini juga berazam untuk melakar lebih banyak kejayaan di dalam dan luar negara, sekali gus keluar dari zon selesa masing-masing.

Bercerita lanjut, Faris Azim berkata, sejak kecil dia meminati seni tari dan itu yang mendorongnya menyertai pelbagai pertandingan secara solo dan berkumpulan sehingga ke hari ini.

Bukan sekadar mahu memburu kejayaan tetapi penyertaannya dalam pertandingan bertujuan mencari pengalaman dan mengukuhkan nama sebagai penari di negara ini.

“Seni tari sudah sebati dengan diri saya sejak kecil dan tidak pernah jemu kerana minat serta puas melakukannya.

“Bermula dengan solo, saya kemudiannya menubuhkan kumpulan. Dari situ, kami menyertai banyak pertandingan.

“Namun antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah ketika berdepan dengan tiga juri tetap Asia’s Got Talent 2017 iaitu Jay Park, David Foster dan Anggun di pusingan prakelayakan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya pada tahun ini, Faris Azim berkata, dia bakal mewakili negara dalam Arena Dance Competition bersama kumpulan Organization 13, Mac nanti.

Katanya, kemenangan dalam pertandingan itu amat penting kerana boleh melayakkan mereka mewakili negara ke China untuk pusingan akhir.


AKSI lincah Ariff dan Faris.

“Ia pertandingan yang cukup besar dan berprestij kerana membabitkan wakil pasukan dari seluruh Asia.

“Jadi, kami perlu fokus dan melakukan yang terbaik selain mengharapkan sokongan rakyat Malaysia.

“Kami mahu buktikan anak tempatan juga mampu pergi jauh dalam bidang ini selain membuang stigma mereka yang sering memandang rendah kepada seni tari hip hop atau tarian jalanan,” katanya yang kerap berkongsi video menari di saluran YouTube.

Sementara itu, Ariff atau lebih mesra dengan panggilan Ariff Karim Lagenda berkata, sehingga kini, dia sudah memegang gelaran juara sebanyak 12 kali selain merangkul 17 anugerah terbaik sejak aktif sebagai pemain bola sepak gaya bebas pada 2007.

Lebih membanggakan, Ariff juga pernah mencipta rekod dengan melakukan 12,278 timbangan dalam tempoh satu jam 35 minit selain diundang menjadi juri khas bagi kejohanan bola sepak gaya bebas di Indonesia pada tahun lalu, sekali gus mendapat liputan media di sana.

“Pelbagai kejayaan sudah dikecapi namun hasrat sebenar saya untuk meningkatkan taraf sukan bola sepak gaya bebas di negara ini ke arah artistik dengan konsep lebih kreatif.

“Untuk mencapai matlamat itu, sokongan semua pihak amat penting selain saya sendiri perlu lebih kreatif serta memantapkan kemahiran tarian supaya diterima baik dan menjadi ikutan.

“Besar harapan saya untuk melihat apa yang diimpikan menjadi kenyataan kerana tidak mahu lagi melihat bola sepak gaya bebas ini sekadar menjadi ‘nasi tambah’, sebaliknya sesuatu yang perlu dibanggakan,” katanya yang akan terus aktif dan bercadang berkongsi pengalaman yang ada dengan anak muda yang berkongsi minat sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:28 AM