KETIKA berada di salah satu kuil di Thailand.
FOTO ‘wajib’ di Thailand bersama gajah.
TERUJA ketika pertama kali menjejakkan kaki di Angkor Wat, Kemboja.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Kerjayanya sebagai ahli arkeologi tidak menjadi halangan kepada Thalia Doverdo Acelis, 27, untuk mengejar apa yang disukainya.

Selama lebih empat tahun dikelilingi artifak bersejarah dalam kerjayanya, ia sedikit sebanyak mempengaruhi minat Thalia dalam mengenali budaya masyarakat dunia di benua lain.

Jika dulu dia sering menghabiskan cuti musim panas di Eropah dengan rakan sebaya namun semakin usia meningkat, dia melihat hiburan boleh dicipta di mana saja tetapi ilmu pengetahuan harus dicari untuk seseorang lebih memahami dan mengenali diri sendiri.

Dua tahun menyimpan hasrat untuk ke Asia Tenggara terutama Kemboja dan Thailand, dia terpaksa menahan diri daripada berbelanja dan giat menabung demi merealisasikan niatnya itu.

Akhirnya, tahun lalu dia boleh tersenyum puas. Mana tidaknya, selama enam bulan dia menghabiskan masa di Asia dan mengunjungi lokasi yang terkenal dengan sejarah peradaban manusia.

BAGAI MIMPI BERDIRI DI DEPAN ANGKOR WAT

“Sebagai ahli arkeologi, saya banyak belajar sejarah manusia di seluruh dunia. Mengetahui bagaimana satu-satu masyarakat terbentuk dan hidup melalui artifak yang ditemui cukup mengujakan. Sebab itu, saya menyimpan hasrat untuk ke Angkor Wat di Siem Reap, Kemboja sejak berusia 23 tahun.

“Pada Jun tahun lalu, akhirnya impian saya tercapai. Saya berjaya menjejakkan kaki di situ dan melihat sendiri bagaimana terperinci sekali hasil kerja tangan manusia pada zaman silam. Saya mengakui hampir mengalirkan air mata kerana rasa seperti bermimpi. Antara sebabnya saya dilahirkan jauh di benua lain dan sebab kedua, saya berjaya lihat dan sentuh objek sejarah yang sangat berharga itu,” katanya.

Thalia berkata, jika orang lain menghabiskan masa paling lama cuma satu hari di kawasan Angkor Wat tetapi dia membeli pakej tiga hari dan menjelajah ke seluruh tinggalan ‘wat’ di situ yang jumlahnya melebihi 30 buah.

“Selain Angkor Wat, saya ke Tasik Tonle Sap dan sempat bertemu dengan penduduk asli di situ. Kehidupan mereka yang berumah di atas air memang sesuatu yang unik kerana suasana seperti itu tidak ada di negara saya.

“Apa yang saya tahu dan belajar daripada mereka saya akan tulis dalam buku catatan peribadi supaya tidak lupa,” katanya.

TERUJA WARNA-WARNI THAILAND

“Thailand seperti yang ramai kawan saya ceritakan penuh dengan kejutan dari segi hiburan, makanan dan sebagainya. Tapi kerana minat saya lebih ke arah kepada sejarah, saya banyak pilih lokasi yang berkaitan dengan misi saya ke sini.

“Antaranya saya ke ‘wat’ Siam popular dari bahagian utara hinggalah ke selatan Thailand. Setiap seni binanya berbeza dan yang lebih mengujakan adalah penggunaan warna untuk membina tempat suci ini,” katanya.

Thalia berkata, impiannya untuk melihat sendiri lokasi berkenaan membuatkan dia sedar bahawa ada sebahagian keaslian budaya manusia dijaga hingga ke hari ini.

“Elemen asli lama yang melambangkan identiti sesuatu masyarakat terus dikekalkan dan saya bangga kerana inilah yang membezakan antara satu kelompok masyarakat dengan yang lain,” katanya.

Katanya, selain dua negara ini, dia turut menjelajah Vietnam, Myanmar, Laos dan Malaysia. Daripada apa yang ditemui di sini, Thalia berkata, dia semakin teruja untuk mengambil tahu lebih lagi sejarah masyarakat minoriti di seluruh dunia.

“Menjejak sejarah minoriti dunia mungkin akan menjadi misi saya seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 3:06 PM